
Walau sering diingatkan tentang kepentingan memilih saiz coli atau ‘bra’ yang tepat, namun masih ramai wanita di luar sana yang masih memandang mudah tentang perkara ini.
Pemilihan saiz coli yang betul adalah penting kerana ia akan menentukan keselesaan dan kesihatan payudara anda.
SoCantik ingin berkongsi sembilan teknik paling tepat yang boleh dipraktikkan untuk memastikan anda memilih saiz coli yang tepat demi kebaikan payudara anda.
1. Sediakan lebih dari satu coli mengikut aktiviti harian

Langkah PERTAMA! Asingkan coli mengikut kategori atau aktiviti seperti untuk bersenam, tidur, bersiar-siar dan sebagainya.
Jika anda telah mengenal pasti jenama atau jenis coli yang sangat selesa dipakai sewaktu melakukan aktiviti tertentu, beli coli tersebut lebih dari satu.
Ini bagi memudahkan anda menukar coli secara bergantian (tidak memakai coli yang sama untuk setiap aktiviti) agar ia tidak cepat longgar.
2. Peka dengan perubahan saiz dari semasa ke semasa

Kehilangan berat badan menjadi faktor utama saiz payudara jadi mengecil.
Jangan panik sekiranya ukuran cup coli anda berubah-ubah dari masa ke semasa. Lebih-lebih lagi bagi gadis yang sedang meningkat dewasa.
Jadi, setiap kali ingin membeli coli baharu, pastikan anda mengukur saiz payudara terlebih dahulu. Ini bagi memastikan anda tidak tersalah memilih saiz.
3. Cangkukkan pada cangkuk paling longgar

Ya, coli memang mudah menjadi longgar apabila terlalu kerap dibasuh.
Oleh itu, ketika membeli coli pastikan anda memilih saiz yang bertepatan dengan payudara dan cuba cangkukkan tali pada cangkuk yang paling hujung (paling longgar).
Walaupun coli kerap kali dipakai, ia akan kekal kukuh menampung payudara tanpa rasa longgar.
4. Angkat tangan ketika mencuba coli baharu

Ketika membeli coli baharu kamu wajar mencubanya. Selepas memakai, angkat tangan dan letak di atas kepala. Adakah coli yang dipakai itu akan ikut ternaik?
Jika ya, ia bermaksud cup coli (jenis a/b/c/d) yang anda pilih itu adalah terlalu kecil manakala ukuran talinya pula agak besar (32/34/36/ dan sebaginya).
5. Ketepatan kedudukan bahagian tengah coli
Bahagian tengah coli (di antara cup kiri dan kanan) perlu berada tepat di bahagian tulang dada yang mendatar (di antara payudara kiri dan kanan).
Ini penting, khususnya jika anda membeli coli yang memiliki dawai.
Sekiranya anda merasakan seolah-olah dawai tersebut mengepit tulang dada atau payudara, pilih ukuran cup yang lebih besar dari apa yang anda pakai pada waktu tersebut.
6. Cup coli nampak penuh atau sebaliknya?

Jika anda melihat cup coli yang sedang dipakai itu memiliki lebihan ruang, ia bermaksud cup tersebut agar besar untuk anda.
7. Tali meninggalkan tanda?
Jika tali coli meninggalkan tanda atau bekas di bahagian bahu, ia bukan bermaksud payudara anda terlalu berat. Sebaliknya, ini disebabkan oleh tali lilitan pada coli.
Tali lilitan coli hanya menampung 10% dari berat payudara anda. Gunakan ukuran tali yang lebih kecil untuk memastikan ia menyokong penuh payudara tanpa meninggalkan sebarang tanda atau bekas.
8. Payudara nampak ‘berlemak’
Jika payudara kelihatan seperti tersepit atau berlemak (kelihatan seolah-olah memiliki lebih dari sepasang payudara), ini menandakan anda perlu menukar ukuran cup yang lebih besar.
9. Kedudukan tali belakang

Lihat di cermin sama ada tali belakang kelihatan ternaik atau tidak? Sepatutnya tali coli perlu seimbang lilitannya. Jika tali di belakang kelihatan seperti ternaik, ia mungkin disebabkan anda memilih coli yang agak besar.
10. Inginkan lebih kepastian
Jika anda masih belum berpuas hati dengan sembilan tip yang dikongsikan di atas, layarilah My Bra Size Calculator untuk mendapatkan saiz coli yang paling tepat untuk payudara anda.
Laman web ini ada memberikan langkah-langkah untuk mengukur payudara bagi mendapatkan saiz coli yang sempurna untuk anda.
Selamat mencuba!
SoCantik.my adalah sebuah portal berita kecantikan sosial diilhamkan untuk berkongsi pelbagai informasi serta berita terkini tentang dunia kecantikan, gaya hidup dan fesyen lokal mahupun antarabangsa.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]