
Kita baru saja lima bulan melangkah ke tahun baru namun pelbagai tragedi dan musibah dialami Indonesia termasuk situasi pandemik Covid-19 yang belum berakhir di seluruh dunia.
Terbaharu, negara itu sekali lagi dikejutkan dengan tragedi menyayat hati apabila kapal selam KRI Nanggala-402 dilaporkan tenggelam bersama 53 kru mereka ketika melakukan latihan torpedo.
Ketika rakyat Indonesia masih terkesan dengan dugaan itu, seorang pengguna TikTok menggunakan akaun @fikaazhr turut meluahkan rasa duka dengan caranya tersendiri hingga menjadi tular di media sosial.
Dia membuat lukisan pada wajahnya dengan menggambarkan pelbagai tragedi di Indonesia seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi, puting beliung serta letupan gunung berapi.
Selain itu, dia turut menggambarkan tragedi pesawat Sriwijaya Air yang terhempas dan mengorbankan 62 orang di laut Jawa pada Januari lalu.
“Tabah sampai akhir #PrayForIndonesia,” tulisnya dalam keterangan video.
Menurut pemilik akaun itu, dia mengambil masa 15 jam untuk mengecat mukanya kerana lukisan itu luntur setiap kali dia menangis.
Sehingga kini, videonya ditonton sebanyak 2.4 juta kali dan ia amat menyentuh perasaan dan mengundang rasa pilu di kalangan netizen lain khususnya di Indonesia.
Beberapa pengguna turut meluahkan rasa kagum mereka terhadap kreativitinya serta berdoa untuk keselamatan dan keamanan di negara itu.
“Di mana butang tular. Sangat kagum. Segera pulih Indonesiaku,” tulis seorang netizen.
“Ya Allah, ia sangat menyentuh perasaan sehingga berdiri bulu roma saya,” kata seorang netizen lain.
“Kreatif dan benar-benar menyentuh perasaan. Lagunya saja sudah membuatkan saya menangis, ditambah pula dengan lukisan yang cantik,” tulis seorang lagi netizen.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]