Beg bawa ikan peliharaan

Beg bawa ikan peliharaan

Sebuah syarikat di Jepun sedang bangunkan produk Katsugyo Bag yang digunakan untuk membawa ikan peliharaan.

Katsugyo Bag yang dikatakan sedang dibangunkan oleh syarikat di Jepun. (Gambar Instagram)

Kita sudah biasa melihat pemilik haiwan peliharaan membawa kucing atau anjing mereka bersiar-siar di luar.

Namun, pernahkah anda terbayang jika perkara sama boleh dilakukan terhadap ikan peliharaan? Bunyinya pelik tetapi itulah yang cuba dilakukan oleh sebuah syarikat di Jepun.

Mereka dikatakan sedang membangunkan sebuah beg untuk membawa ikan hidup bagi membolehkan pemiliknya membawa hidupan itu ke mana-mana saja.

Beg diberi nama ‘Katsugyo Bag’ itu adalah sebuah tangki mudah alih yang berbentuk tiub panjang dan lutsinar di bahagian tengahnya selain dilengkapi pemegang dan alat pengukur kadar oksigen.

Produk dibangunkan oleh Ma Corporation itu bertujuan menyediakan alternatif lebih elegan, cekap dan mesra alam berbanding beg plastik berisi air.

Buat masa ini, ia masih lagi dalam proses pembangunan dan jika berminat, anda mungkin terpaksa menunggu lebih lama sebelum ia sedia untuk dijual.

Pencipta produk ini juga masih mengujinya dengan pelbagai jenis ikan dan eksperimen itu dimuat naik di akaun Instagram.

Mereka memuat naik beberapa keping video dan gambar sejak Oktober lalu dan terbaru ia dilengkapi dengan alat pengukur kadar oksigen serta port untuk memberi makanan kepada ikan.

Inovasi terbaru itu turut menerima maklum balas menggalakkan daripada netizen dan ia mungkin menjadi produk paling hangat bukan hanya di Jepun tetapi luar negara.

Setakat ini, ramai yang sudah menyatakan minat mereka dan bertanyakan mengenai harga selain memberi sokongan terhadap projek berkenaan.

Walaupun beg itu mungkin boleh digunakan sebagai tangki mudah alih untuk ikan peliharaan, namun tidak mustahil jika ia turut disasarkan kepada peminat makanan sashimi untuk memastikan mereka dapat menikmati ikan segar.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.