Albert Einstein ‘hidup’ semula

Albert Einstein ‘hidup’ semula

Syarikat Uneeq melakukan inovasi membangunkan Digital Einstein sempena ulang tahun ke-100 Einstein dianugerahkan Hadiah Nobel dalam Fizik.

Einstein dihidupkan secara digital.

Pernahkah anda membayangkan untuk bertemu muka dengan individu terkenal dunia yang sudah lama pergi termasuk ahli fizik teori popular, Albert Einstein?

Pada era teknologi ketika ini, semuanya bukan sesuatu yang mustahil lagi apabila Einstein berjaya ‘dihidupkan semula’ menerusi platform manusia digital yang lengkap dengan wajah dan suaranya.

Digital Einstein dibangunkan untuk membawa wajah terkemuka ke dalam teknologi manusia digital iaitu wajah antara mesin dan manusia.

Lengkap dengan pelat Jerman, salinan digital itu berkomunikasi dalam nada yang ramah serta lembut kerana ia sudah diprogram untuk menyamai personaliti sebenar Einstein yang dikatakan suka bergurau.

Pengguna boleh menyertai kuiz harian selain mengajukan pertanyaan mengenai sains, kehidupan serta kerjanya.

Einstein sememangnya terkenal dengan hasil kerja dalam bidang fizik terutama teori yang mengubah pemahaman mengenai perjalanan waktu di angkasa, graviti dan dunia.

Inovasi terbaru itu direka oleh UneeQ iaitu sebuah syarikat berpangkalan di New Zealand dan Austin yang mengkhususkan bidang manusia digital dan ia juga dikeluarkan sempena ulang tahun ke-100 Einstein dianugerahkan Hadiah Nobel dalam Fizik.

“Digital Einstein adalah satu contoh teknologi kecerdasan buatan (AI) itu evolusi seterusnya interaksi antara manusia dan mesin menerusi manusia digital berdasarkan personalitinya.

“Ia berupaya mewujudkan hubungan terhadap pelanggan, pesakit, pelajar dan pengguna akhir untuk merasai interaksi lebih bermakna dan beremosi,” kata Uneeq dalam kenyataannya.

Saintis AI itu boleh menguji tahap pengetahuan setiap individu berkenaan pelbagai topik menerusi kuiz hariannya atau mereka juga boleh berinteraksi secara peribadi mengenai penyelidikan dan hasil kerjanya.

Walaupun teknologi itu menghiburkan, Uneeq berkata ia juga direka dengan personaliti sebenar untuk mendekati mereka yang menderita akibat berkurung terlampau lama serta kesunyian sejak tahun lalu.

“Kesihatan mental dan kehadiran peneman adalah masalah yang sudah lama dihadapi masyarakat hari ini dan kehadiran pandemik Covid-19 lebih memburukkan keadaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Uneeq, Danny Tomsett.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.