Jangan jadikan puasa alasan wajah kusam

Jangan jadikan puasa alasan wajah kusam

SoCantik ingin berkongsi tips praktikal agar kamu kekal segar dan menawan sepanjang menjalani ibadah puasa ini.

Solekan ringan akan memberi keyakinan dan semangat menjalani harimu sepanjang Ramadan. (Gambar elements.envato.com)

Bagaimana dengan persiapan Ramadan kali ini? Tahun ini adalah tahun kedua kita menyambut Ramadan dalam suasana normal baharu akibat pandemik Covid-19.

Pengalaman berpuasa pada tahun lalu, sedikit sebanyak mengajar diri kita untuk beradaptasi dengan suasana baharu ini. Semoga kita kekal tabah meneruskan perjuangan menentang virus Covid-19 ini.

Walau apa pun, kehidupan masih perlu diteruskan. Bagi yang yang bekerja, bulan Ramadan adalah salah satu bulan yang agak mencabar.

Bekerja di bulan puasa boleh mempengaruhi penampilan solekan individu. Ini disebabkan wajah tampak lesu dan kurang segar kerana menahan diri dari lapar dan dahaga di sepanjang hari.

Jangan sampai situasi sebegini menjejaskan penampilan kamu di pejabat! Lebih mencabar lagi jika sektor pekerjaan kamu itu memerlukan komunikasi dan bertemu dengan ramai orang sepanjang hari.

Masalah bibir kering sehingga pecah-pecah akibat dehidrasi adalah antara masalah biasa yang dihadapi oleh individu yang sedang berpuasa.

Malah, kulit lebih cenderung menjadi kering ketika berpuasa akibat kurang minum air.

Jadi, untuk memastikan solekan kamu kekal mulus dan segar sepanjang hari berpuasa, SoCantik ingin berkongsi tips berikut!

1. Utamakan pelembap kulit

Gunakan produk penjagaan kulit yang boleh menghidrat kulit wajah kamu. (Gambar elements.envato.com)

Kurang pengambilan air sewaktu bulan puasa menjadi faktor utama kulit individu menjadi kering. Malah, kulit akan kelihatan sedikit kering berbanding hari-hari biasa.

Jadi, untuk memastikan solekan kekal segar dan mulus, kamu perlu menjaga kulit dengan mengutamakan penggunaan produk berasaskan lembapan.

Gunakan produk penjagaan kulit yang boleh menghidrat kulit wajah kamu. Antaranya seperti hydrating toner, essence, serum dan krim pelembap.

Sekiranya kulit wajah kamu memperoleh lembapan yang mencukupi, solekan akan mudah melekat pada wajah dan ia tidak kelihatan bercapuk atau timbulnya kesan rekahan.

2. Pilih sapuan cushion dengan sentuhan ‘glass skin’

Gunakan cushion yang memberikan sentuhan ‘glass skin.’ (Gambar elements.envato.com)

Salah satu tips untuk memperoleh solekan tampak segar dan mulus adalah dengan pemakaian cushion yang memberikan sentuhan ‘glass skin.’

Penggunaan produk ini lebih digalakkan berbanding foundation biasa kerana cushion memiliki pelindungan yang lebih tipis berbanding foundation.

Ketika kulit berada dalam keadaan kering, cushion yang memberikan sentuhan ‘glass skin’ ini dapat menjadikan solekan kamu kelihatan lebih flawless dan segar.

Malah, ia turut membantu memelihara kelembapan kulit kamu.

3. Concealer si penyamar kantung mata

Tutup lingkaran gelap bawah mata dengan menggunakan concealer. (Gambar elements.envato.com)

Lazimnya wajah individu yang berpuasa akan kelihatan sedikit lesu dan kepenatan. Ini boleh dilihat dengan ketara pada bahagian mata individu.

Lingkaran gelap bawah mata serta kantung mata akibat kepenatan boleh diatasi dengan menggunakan concealer.

Selain itu, concealer juga boleh digunakan sebagai senjata untuk menyamari parut jerawat dan bintik-bintik hitam pada wajah.

4. Blusher berona segar

Hanya sapuan nipis blusher, boleh menjadikan wajah tampak segar. (Gambar elements.envato.com)

Blusher atau pemerah pipi berwarna segar seperti coral dan peach boleh membantu memperlihatkan solekan wajah kamu tampak lebih segar.

Sapu pemerah pipi pada bahagian tulang pipi dan dagu kamu. Memadai hanya dengan sapuan nipis ia boleh menjadikan wajah kamu kelihatan lebih segar bak semula jadi.

5. Sapuan nipis pembayang mata

Sapuan nipis sahaja yang diperlukan agar mata kamu kelihatan lebih bermaya sepanjang hari. (Gambar elements.envato.com)

Nak nampak lebih segar? Sapu pembayang mata yang mempunyai tona yang sama seperti sapuan pemerah pipi yang kamu pakai.

Tidak perlu sapuan yang tebal, hanya sapuan nipis sahaja yang diperlukan agar mata kamu kelihatan lebih bermaya sepanjang hari.

6. Segarkan bibir dengan Lipstik atau Liptint

Lipstik atau liptint berwarna peach atau coral sudah cukup menjadikan wajah segar sepanjang hari. (Gambar elements.envato.com)

Lipstik adalah asas solekan yang paling penting! Bibir yang tidak dicalit dengan lipstick cenderung kelihatan pucat.

Untuk memastikan wajah kamu terpancar segar sepanjang tempoh berpuasa, apa kata kamu sapukan bibirmu dengan lipstik atau liptint berwarna peach atau coral.

Selamat mencuba! Semoga kita kekal tabah meneruskan perjuangan menentang virus Covid-19 ini.

SoCantik.my adalah sebuah portal berita kecantikan sosial diilhamkan untuk berkongsi pelbagai informasi serta berita terkini tentang dunia kecantikan, gaya hidup dan fesyen lokal mahupun antarabangsa.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.