
Wanita terkenal yang juga pemegang Guinness World Record dengan kuku terpanjang dunia, Ayanna Williams akhirnya mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada kukunya selepas dia membuat keputusan memotongnya minggu lalu.
Williams yang berasal dari Amerika Syarikat itu, kali terakhir memotong kukunya adalah sekitar awal tahun 90an.
Dia yang menetap di Texas itu mengambil masa lebih 28 tahun untuk memanjangkan kukunya sekali gus menjadikan ia sebagai sebahagian daripada identitinya.
Proses memotong kuku itu dilakukan oleh Dr Allison Readinger di Trinity Vista Dermatology di Forth Worth, Texas dengan menggunakan alat pemotong elektrik sebaik ukuran panjang kuku diambil buat kali terakhir.
Bagaimanapun, Williams berjaya memecah rekodnya sendiri dengan ukuran panjang terbaru 733.55 sentimeter.
Walaupun begitu, dia mengakui terpaksa memotong kuku kerana sukar menjalankan aktiviti harian seperti membasuh pinggan dan mengemas.
Katanya, keputusan itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai yang masih berminat untuk melihat kukunya di tempat awam terutama golongan kanak-kanak.
Mengenai latar belakang wanita itu, dia dikatakan berminat mengenai seni menghias kuku sejak kecil lagi dan sering meminta ibunya memeriksa ukuran panjang kuku supaya boleh dicat dengan pelbagai warna.
Sejak itu juga, ‘impian’ Williams akhirnya menjadi kenyataan dan lebih manis lagi apabila dapat mencatat rekod dunia.
Wanita terbabit kali pertama mula dikenali pada 2017 selain mendapat perhatian dalam Guinness World Records 2018.
Ketika itu, dia memiliki kuku berukuran 576.4 sentimeter dan memerlukan dua botol bahan pengilap kuku serta mengambil masa 20 jam untuk siap merias kuku.
Baru-baru ini pula, wanita itu mengambil sekitar tiga hingga empat botol pengilap dan mengambil masa beberapa hari untuk mencantikkan kukunya.
Walaupun agak beremosi, namun Williams tetap berasa teruja apabila dimaklumkan bahawa kukunya akan diawet dan dipamerkan kepada umum di Muzium Ripley’s Believe It or Not! di Orlando, Florida.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]