
Sebut mengenai fesyen, apa saja boleh menjadi inspirasi memandangkan idea dan kreativiti seseorang tidak mengenal batas.
Tidak kiralah sama ada tumbuh-tumbuhan, alam sekeliling mahu pun makanan, ia boleh menjadi pencetus idea pereka fesyen untuk tampil unik di pentas peragaan.
Seorang ratu cantik di Indonesia, Aurra Kharishma turut menampilkan kelainan apabila mengenakan kostum bertemakan sate di pertandingan kostum kebangsaan Miss Grand International di Bangkok, Thailand.
Sebelum itu, Aurra sempat memuat naik beberapa keping gambarnya di media sosial yang memperagakan kostum bertajuk ‘The Edacious of Chicken Satay’.
Gambar pertama menunjukkan variasi kostum terbabit yang dihiasi dengan lidi sate manakala variasi lain pula menunjukkan pinggan berisi bawang dan hirisan cili padi.
Tema kostum itu adalah Sate Madura iaitu merujuk kepada sate ayam berasal dari pulau Madura di Jawa Timur selain digabungkan dengan elemen baju berwarna merah dan putih dengan pakaian luar berwarna hitam, sama seperti penjualnya di sana.
Lebih unik lagi apabila bahagian pemanggang pada kostum terbabit boleh diterbalikkan untuk menunjukkan sepinggan sate.
Kostum direka oleh Jember Fashion Carnaval (JFC) itu adalah sebagai simbolik melambangkan budaya makanan Indonesia yang terkenal di seluruh negara berkenaan.
Aurra, 21, yang memenangi tempat pertama Miss Grand Indonesia tahun lalu, mengenakan kostum sate itu sebelum berlepas ke Bangkok akhir Februari.
Sejak itu, Aurra dikuarantin sehinggalah tibanya pertandingan peringkat akhir yang dijadualkan Sabtu ini.
Pertandingan Miss Grand International yang dianjurkan di Bangkok adalah pertandingan ratu cantik yang berkempen menentang peperangan dan kekejaman.
Indonesia sebelum ini memenangi pelbagai anugerah di pertandingan itu bermula daripada Ariska Putri Pertiwi yang merangkul Kostum Kebangsaan Terbaik dan memenangi pertandingan itu pada 2016.
Ia diikuti dengan Dea Rizkita yang turut memenangi Kostum Terbaik Kebangsan pada 2017 dengan kostum bertema ‘Ibu Pertiwi’ serta Nadia Purwoko yang menang tempat ketiga pada 2018.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]