
Rama-rama adalah sejenis serangga yang cukup dikagumi keindahannya dengan kitaran hidupnya yang cukup singkat.
Biarpun memiliki kitaran hidup yang tidak lama, makhluk unik ini dipersiapkan dengan pertahanan dan perlindungan diri yang bijak untuk memastikan ia mampu terus membiak.
Baru-baru ini tular di media sosial kelibat ular berkepala tiga yang dilihat bergayut di dahan pokok.
Jelas sekali, wajah ketiga-tiga ular tersebut yang kelihatan marah dan garang seolah hanya menanti masa untuk menyerang mangsanya.
Namun hakikatnya cukup mengejutkan. Jika dilihat dengan lebih teliti pada sudut pandang yang betul ia bukanlah seperti yang anda sangkakan.
Apa yang anda sedang lihat sebenar bukanlah sekumpulan ular sebaliknya seekor serangga rama-rama.
Serangga yang dikenali dengan nama saintifik Attacus Atlas ini juga dikenali sebagai Atlas Moth. Difahamkan ia adalah spesies Lepidoptera terbesar dalam kumpulan rama-rama dan kupu-kupu.
Gambar yang sedang tular itu dikongsi pemilik akaun twitter @thegallowboob dengan keterangan gambar ‘Atlas adalah rama-rama terbesar di dunia’.
Serangga dengan kitaran hidup selama dua minggu ini menggunakan samaran unik seperti ular untuk melindungi telurnya dan banyak terdapat di Asia.
Rata-rata warganet terpegun dengan penyamaran serangga ini dan jika tidak diperhatikan betul-betul memang mereka akan menyangka ia adalah tiga ekor ular di dahan pokok.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]