Artis ‘ambil duit dan lari’, muzium Denmark terima 2 lukisan kosong

Artis ‘ambil duit dan lari’, muzium Denmark terima 2 lukisan kosong

Artis Jens Haaning sepatutnya menggunakan wang RM345,000 sebagai bahan pameran namun menyerahkan dua lukisan kosong.

Muzium Seni Moden Kunsten Denmark terkejut menerima dua kanvas kosong selepas menyerahkan RM345,000 kepada artis Jens Haaning. (Gambar Reuters)

Ketika Muzium Seni Moden Kunsten Denmark menyerahkan $84,000 (RM345,000) kepada artis Jens Haaning untuk dua lukisan yang bakal dipamerkan, perkara terakhir yang mereka harapkan adalah mendapatkan dua kanvas kosong sebagai balasan.

CNN melaporkan, muzium itu meminta Haaning memberi sentuhan baru kepada dua karya lama menggunakan bingkai wang kertas Danish Kroner dan Euro bagi menggambarkan pendapatan purata rakyat Austria dan Denmark dalam mata wang masing-masing.

Difahamkan karya itu bakal ditampilkan dalam sebuah pameran berkaitan masa depan pekerja.

Namun sebaik Kunsten menerima karya itu, pihak muzium terkejut kerana Haaning langsung tidak menggunakan wang kertas yang diberikannya untuk lukisan tersebut dan hanya menyerahkan dua kanvas kosong.

“Saya telah memilih untuk menampilkan karya baharu buat pameran itu, dengan tidak mempamerkan dua karya yang masing-masing berusia 14 dan 11 tahun tersebut,” kata Haaning kepada muzium melalui emel, menurut CNN.

“Karya ini adalah berdasarkan respon ke atas kedua-dua konsep pameran anda dan karya yang telah kita persetujui untuk dipamerkan pada awalnya,” tulisnya.

Haaning menamakan karya terbaharunya itu sebagai “Take the Money and Run.”

Pengarah muzium, Lasse Andersson, ketika dihubungi CBS News mengakui dia tergelak melihat kanvas yang kosong itu.

“Kakitangan kami terkejut sebaik membuka peti tersebut. Saya berada di luar negara ketika peti dibuka, dan tiba-tiba menerima banyak emel,” kenang Andersson.

“Jens cukup dikenali dengan seni konseptual dan aktivisnya dengan sentuhan humoristik. Dan itulah yang kami terima. Kami turut tertanya-tanya ke mana perginya wang itu,” tambahnya.

Andersson bagaimanapun tetap menayangkan karya tersebut di galeri muzium berkenaan yang dibuka sejak 24 September yang lalu.

Baginya, ia tidak salah kerana karya tersebut dihasilkan dari sudut humor dan ‘bagaimana kita meletak harga pada sesuatu karya seni’.

NPR melaporkan, Haaning telah menandatangani kontrak untuk menyerahkan karya seni dan mengembalikan wang berjumlah $84,000 itu. Difahamkan wang itu perlu dikembalikan pada pertengahan Januari setelah pameran berakhir.

Walau bagaimanapun, pihak Muzium tidak sepenuhnya terganggu dengan apa yang diterima. Ini kerana gimik yang dibuat Haaning ini pasti akan buat lebih ramai pengunjung melawat muzium tersebut yang akan menjana lebih pendapatan.

Tidak mustahil pasti ada yang berminat untuk membeli karya kosong Haaning ini selepas 16 Januari nanti pada harga yang tinggi.

“Bukan itu yang kami persetujui dalam kontrak, tetapi kami menerima satu karya seni yang segar dan menarik, kata Andersson.”

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.