
Melihat dokumentari yang memaparkan bagaimana harimau mengajar anaknya untuk memburu demi kelangsungan hidup adalah satu yang lazim.
Tapi melihat haiwan mengajar anaknya bermain permainan yang dicipta khusus untuk anak manusia itu memang lain dari yang lain.
Betsie Stockslager, guru tadika di Isaac Dickson Elementary School dari Asheville, Carolina Utara merakam gelagat seekor ibu beruang dan anaknya sedang bermain-main gelongsor di sebuah taman permainan.
“Ini memang hari bertuah saya – taman permainan di sekolah, dapat menyaksikan segalanya! Saya suka lihat bagaimana ibu beruang menggelungsur dari papan gelongsor paling besar dan pantas berlari ke gelongsor lebih kecil, kemudian memeluk anaknya sebaik tiba di bawah dengan selamat,” tulisnya dalam perkongsian video tersebut.
Rakaman itu cukup mengejutkan dan hebat kerana bukan saja beruang itu mengajar anaknya untuk bermain gelongsor tetapi memilih gelongsor yang lebih kecil demi keselamatannya.
Tidak hairanlah sejak dimuat naik beberapa hari lalu, video itu berjaya menarik lebih 300,000 tontonan.
Ia juga dikongsi semula ramai pengguna di pelbagai platform media sosial dengan pelbagai komen yang menarik.
“Saya suka gelagat beruang yang lucu,” kata seorang pengguna Facebook.
“Dapat melihat persamaan yang dimiliki semua ibu-ibu yang hebat memang menakjubkan. Rakaman yang hebat Betsie! Terima kasih kerana berkongsi!” ujar seorang pembaca.
“Comel betul tengok gelagat mereka bermain bersama,” komen seorang lagi warganet.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]