
Melihat kepada bentuknya, satu-satunya nama yang tidak mungkin akan terlintas di fikiran kita adalah pizza.
Mungkin kelainan begini mengundang sambutan dan semestinya formula tepat untuk tular, namun persoalannya, mengapa pizza ini disediakan dalam cawan kullad atau cawan tanah liat dan bukan piring atau pinggan.
Klip video ini dimuat naik pemilik saluran YouTube Aamchi Mumbai dengan keterangan ringkas ‘Ini ialah Pizza pertama di India yang dihidangkan dalam cawan tanah liat’.
Konsep unik ini diperkenalkan sebuah kedai makanan segera yang cukup tersohor di Surat, The Chaat Cornet berhampiran kawasan Adajan.
“Ia cukup dikenali dengan pelbagai hidangan unik. Cara penyediaan Kullad Pizza sangat menyelerakan dan rasanya juga sedap,” jelas keterangan video itu lagi.
Tidak hairanlah sejak dikongsi beberapa hari lalu, ia telah berjaya mencecah sehingga 2.2 juta tontonan. Klip video tersebut juga mengundang pelbagai komen lucu dan tidak kurang juga persoalan.
“Ini bukan kullad pizza, ini sayur dan keju kullad,” usik seorang pengguna YouTube.
“Ok, tapi KENAPA?” kongsi seorang lagi pembaca bingung.
“Kata saya selepas membelinya: Mana roti pizza saya bang!?” kata pembaca lain.
“Inilah satu-satunya makanan dalam dunia yang tidak mungkin saya panggil PIZZA,” luah seorang lagi warganet.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]