
Beyonce bukan, Putera Harry pun bukan, jauh sekali wanita tercantik di dunia Bella Hadid.
Jadi persoalan pertama yang terpacul di minda ialah apa yang badak air ini buat sehingga lebih 42 juta orang bagai nak gila menonton videonya di Instagram.
Menerusi klip video pendek tersebut, seekor badak air dilihat terapung dan berenang tanpa tujuan di dalam sebuah kolam.
Berbeza dengan manusia yang lebih seronok berenang dengan percikan air, badak ini nampaknya meletakkan kelasnya di ranking lebih tinggi.
Lihat saja lagaknya yang cukup bersahaja tanpa sebarang kerunsingan dan masalah pandemik yang perlu difikirkan.
Sambil ditemani ikan-ikan kecil di kolam dengan air biru kehijauan itu, haiwan tersebut ternyata langsung tidak terganggu dan berada di dunianya yang tersendiri.
Aksi badak air yang cukup mempesonakan itu dirakam di Busch Garden, sebuah taman tema di Amerika Syarikat.
Sejak dimuat naik, video itu laku keras di media sosial dengan lebih 42 juta tontonan setakat ini. Ia dikongsi semula oleh pemilik akaun Instagram Africa Safari Planet selepas dimuat naik sebelumnya oleh pemilik akaun Carol Asencio.
Warganet cukup terhibur dengan perkongsian yang mencuit hati itu dan rata-rata mahu merasai sendiri tahap ketenangan yang dimiliki badak air tersebut.
Malah, ada pengguna yang menggesa haiwan tersebut dibebaskan ke habitat asalnya.
“Saya mahu tahap ketenangan itu,” kata arshlx.
“Bebaskan ia,” gesa nicemozza kepada taman tema tersebut.
“Dia sedang menikmati hidupnya,” komen akshay.d.rajput.
“Video ini buat saya gembira,” kongsi lornaelizabetht pula.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]