
Gelanggang media sosial yang baru-baru ini kecoh selepas ribuan wanita kecewa dengan pernikahan aktor kacak Remy Ishak, 39, dan Ezza Yusof, 38, kini gamat kembali apabila ramai yang bakal menangis di bucu katil selepas pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo, Abdul Latif Romly mengakui mahu menamatkan zaman bujang.
Menerusi perkongsian di akaun Instagram _inaijari_ yang dikongsi semula dari @erinsakura, keterangan gambar yang bernada sindiran lucu itu menyeru wanita di luar sana untuk tidak kecewa dan berputus asa dengan pengumuman Abdul Latif itu.
“Konon lepas Remy Ishak ‘off market’ (menamatkan zaman bujang) nak try (cuba) Latif Romly pula. Tapi kaum hawa kat luar sana mohon jangan menangis tepi bucu katil ya,” tulisnya.
Turut dimuat naik dalam perkongsian tersebut beberapa gambar Abdul Latif bersama ‘si dia’ berserta dengan petikan kenyataan dari ibu atlet berkenaan.
“Latif ada nyatakan hasrat untuk berkahwin dengan wanita pilihannya. Calon dah ada, girlfriend (teman wanita) sejak dari sekolah lagi,” ujar ibunya.
Di bawah gambar tersebut juga tertera kata-kata yang cukup menyentuh hati “Setia Dari Tiada Apa-Apa Lagi, Inilah Dia Gadis Si ‘Pencuri Hati’ Latif Romly”.
Menjenguk ke ruangan komen, rata-rata warganet menyatakan rasa terkejut dan kecewa dengan pengumuman itu. Malah ada juga yang bengang dengan berita yang dianggap tidak sahih.
Pun begitu pengguna media sosial nampaknya tidak pernah berhenti berharap kerana menerusi perkongsian terkini _inaijari_ yang memaparkan keratan akhbar Kosmo, difahamkan Abdul Latif merancang untuk berkahwin pada 2025.
“Lamoo lagi. Yang bujang jangan putus asa. Macam-macam boleh jadi,” kata pemilik akaun kvonarzachel penuh harapan.
“Kesian yang menunggu, dah macam olimpik 4 tahun lagi,” usik kuih.raya.malaysia.
“Boleh try lagi,” sampuk cekyinulala.
“Ingat kan tahun depan…rupanya 2025, alahaiii…,” ujar roman_cinta.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]