Suami isteri hidup 10 hari atas pokok elak dibaham beruang

Suami isteri hidup 10 hari atas pokok elak dibaham beruang

Anton dan Nina Bogdanov hidup dari pokok ke pokok selama 10 hari sebelum terselamat dari beruang ganas di wilayah Kamchatka, Siberia.

Pasangan suami isteri Anton dan Nina Bogdanov tidak menyangka percutian indah yang diimpikan bertukar mimpi ngeri apabila mereka nyaris dibaham beruang coklat.

Rancangan sepasang suami isteri untuk bermalam di sebuah lokasi mata air panas indah bertukar ngeri apabila terpaksa berlindung di atas pokok selama 10 hari selepas nyaris dibaham seekor beruang coklat.

Kisah malang itu bermula apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang dipandu mereka tersangkut di dalam lumpur kira-kira 18 kilometer dari mata air panas di Kamchatka, Siberia.

Menyedari kawasan itu tiada liputan telefon mudah alih, mereka mengambil keputusan untuk bermalam di dalam kenderaan saja sebelum berjalan kaki ke pusat pelancong di Banniye Springs di timur Rusia untuk mendapatkan bantuan.

Memandangkan kawasan itu juga terkenal dengan beruang coklat yang ganas, mereka sempat meninggalkan pesanan “Kami menuju ke pangkalan. Dua orang” di cermin depan kenderaan tersebut.

Hanya selepas separuh perjalanan menuju ke pangkalan, barulah pasangan itu menyedari bahawa mereka sedang diekori sesuatu.

“Beruang itu berjalan di belakang kami. Kami langsung tidak perasan kerana ia sangat senyap,” kata Nina yang pada mulanya berjaya menghalau beruang itu sebelum ia mula mengejar mereka.

Ketika cuba memanjat pokok, Anton hampir maut dibaham haiwan pemangsa itu namun terselamat selepas Nina melempar botol air ke arahnya.

Beruang tersebut ternyata enggan melepaskan pasangan itu dan terus berlegar-legar di pangkal pokok tersebut.

Ia memaksa pasangan itu melempar beg sandang mereka untuk menghalaunya, termasuk satu-satunya beg yang mengandungi bekalan makanan mereka.

Mereka berjaya melarikan diri ke arah sungai selepas menakut-nakutkan beruang itu dengan bunyi bising.

Namun pasangan tersebut terpaksa memanjat semula pokok lain selepas menyeberangi sungai kerana masih diekori haiwan terbabit.

“Kami tidur secara bergilir-gilir dan bergerak lebih kurang 500 ela setiap hari. Sukar untuk tidur sebenarnya kerana beruang itu enggan melepaskan kami.”

Selepas bermalam semalaman di dalam kereta dan 10 malam berlindung dari pokok ke pokok, kami berjaya kembali ke kenderaan kami.

Beruang itu juga menyerah kalah pada malam terakhir kami berada di atas pokok dan beralih mencari sumber makanan lain.

“Sebaik tiba di kenderaan itu, kami terus mendengar bunyi seolah sebuah kenderaan sedang menghampiri. Saya mula menangis sebaik melihat kenderaan itu,” katanya.

Seorang penyelamat yang dikenali sebagai Artur berkata, dia menemui pasangan itu selepas kali kedua sampai ke kenderaan milik mereka.

Difahamkan, sepanjang beberapa tahun lalu, empat serangan beruang coklat direkodkan dengan dua daripadanya maut.

Wilayah itu juga mempunyai sehingga 23,000 beruang liar, populasi terbesar haiwan pemangsa tersebut di Rusia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.