Mengaku bercinta dengan cimpanzi, wanita dilarang lawat ‘kekasihnya’ lagi

Mengaku bercinta dengan cimpanzi, wanita dilarang lawat ‘kekasihnya’ lagi

Seorang wanita dilarang melawat kurungan cimpanzi di sebuah zoo Belgium selepas dia mendakwa menjalinkan hubungan dengan salah seekor daripada beruk tersebut.

Adie Timmermans mengunjungi Chita, cimpanzi berusia 38 tahun itu setiap minggu sejak empat tahun lalu. (Gambar VTM NIEUWS)

Sejak empat tahun lalu, Adie Timmermans sering mengunjungi Chita, seekor cimpanzi berusia 38 tahun yang berada di Zoo Antwerp Belgium, lapor Newsweek.

Difahamkan kekerapan lawatan itu telah membibitkan hubungan mesra Timmermans dengan Chita sehingga dia mengaku menjalinkan hubungan cinta dengan haiwan tersebut.

“Saya menyayangi Chita dan ia menyayangi saya,” kata Timmermans dalam satu temu bual dengan penyiar ATV Belgium.

Setiap kali berkunjung dia akan melambai ke arah Chita dan meniupkan tanda ciuman dari jauh melalui kaca kurungan itu.

Bagaimanapun, petugas zoo mendapati interaksi tersebut telah merosakkan status sosial cimpanzi terbabit dalam kumpulannya.

Menurut kurator Zoo Antwerp, Sarah Lafaut, Chita sebelum ini dibesarkan sebagai haiwan peliharaan kemudian diserahkan kepada pihak zoo selepas tingkah lakunya menjadi tidak terkawal.

Namun, sepanjang 30 tahun hidup dalam kurungan, haiwan itu tetap menunjukkan minat terhadap manusia.

“Apabila Chita sering dikelilingi pengunjung, beruk-beruk lain akan mengabaikannya dan tidak menganggapnya sebagai sebahagian anggota kumpulan, walaupun itu penting baginya,” kata jurucakap zoo kepada ATV.

“Dia kemudian akan duduk sendirian apabila waktu lawatan berakhir.”

Timmermans turut meluahkan kekecewaannya kerana dilarang mengunjungi rakan primatnya itu ketika diwawancara ATV.

“Saya tidak punya apa-apa lagi. Mengapa mereka mahu merampasnya? Kami ada hubungan, itu saja. Puluhan pelawat lain dibenarkan untuk berhubung, jadi mengapa tidak saya? ”

Menurut pihak zoo, kesejahteraan Chita mungkin terganggu dan mereka hanya mahu ia gembira dan dihargai bersama kelompok cimpanzi yang lain.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.