‘Frontliners’ terkejut ‘The Pocket Rocket Man’ luang masa edar makanan di SJR

‘Frontliners’ terkejut ‘The Pocket Rocket Man’ luang masa edar makanan di SJR

Azizulhasni, adik dan beberapa saudaranya mengedarkan pek makanan kepada ‘frontliners’ yang bertugas menjaga keselamatan kampung.

Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang dan saudara-maranya mengambil inisiatif berkongsi rezeki dengan mengedarkan pek makanan kepada petugas-petugas di SJR sekitar Dungun. (Gambar Instagram)

Seronok juga menjenguk aktviti pemenang pingat perak acara Keirin lelaki, Sukan Olimpik Tokyo 2020 Azizulhasni Awang di akaun Instagram beliau apabila sesekali berpeluang pulang ke kampung.

Dalam perkongsian video terbaharu di akaun Instagram anak kelahiran Dungun Terengganu itu semalam, beliau dilihat bersama-sama adik dan beberapa orang saudaranya sibuk mengedarkan pek makanan kepada petugas barisan hadapan di sekitar daerah kelahirannya itu.

Di awal video tersebut, dalam pada mereka sibuk mengangkat pek makanan ke dalam kereta untuk diedarkan, kedengaran seorang daripada saudara Azizul sempat menjelaskan menu pek makanan tersebut yang terdiri daripada nasi minyak, lauk ayam dan air sirap.

“Semalam sempat saya bersama-sama dengan adik @asive_awang, anak buah @xhmxd_1972 dan sepupu @talhah_ubaidullah88, kami meluangkan sedikit masa dengan menghantar makanan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas menjaga kawasan kampung kami di daerah Dungun ini,” katanya di akaun rasmi Instagram @azizulhasniawang.

Katanya lagi, mereka ini individu-individu hebat yang bekerja keras siang dan malam menjaga serta melindungi kampung. Jadi apalah sangat dengan berkongsi sedikit rezeki kepada mereka semua.

“Saya harap sedikit sebanyak ianya memberikan senyuman kecil di wajah mereka.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua wira-wira barisan hadapan kita. Jasa anda amat saya hargai,” tulis Azizul atau lebih dikenali dengan jolokan ‘The Pocket Rocket Man’.

Setiap sekatan jalan raya (SJR) yang disinggahi Azizul dan kumpulannya mengundang kejutan dalam kalangan petugas-petugas di SJR.

Mana tidaknya, siapa sangka insan tersohor seperti Azizul sudi singgah sambil menghantar buah tangan.

Lebih 84,000 tontonan diperoleh menerusi perkongsian ini dengan pelbagai reaksi berwarna warni dari khalayak warganet.

Rata-rata memuji dan mengagumi sifat tanggungjawab dan rendah hati yang dimiliki jaguh keirin antarabangsa ini.

Tidak kurang juga yang mengucapkan selamat kembali ke tanah air dan ke kampung halamannya di Dungun.

“Kawan kita ceria semalam tertengok Azizulhasni Awang dekat seberang pintasan, ketor pa kaki. Gembira punya pasal. Selamat kembali ke Dungun,” demikian komen lucu seorang pembaca.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.