
Andrea Colonetta berkata, dia tidak terlalu memikirkan mengenainya sebelum mencacah tatu terbaharunya, namun memilih reka bentuk praktikal itu selepas berbincang dengan artis tatu, Gabriele Pellerone.
“Ia sesuatu yang asli dan saya suka sesuatu yang berbeza,” ujar Colonetta, lapor Daily Mail.
Pellerone, kemudian telah memuat naik sebuah video di TikTok menunjukkan Colonetta memasuki sebuah premis rangkaian restoran makanan segera, McDonald’s di Itali dengan hanya mengangkat tangannya.
Petugas di pintu masuk premis tersebut kemudian mengimbas tatu wanita itu sebelum video tersebut tamat.
Colonetta mencacah lengan kirinya dengan tatu kotak hitam matriks daripada kod respon pantas (QR) yang merupakan pas rasmi untuk memasuki premis awam di Itali.
Pas tersebut menunjukkan status koronavirus sama ada individu itu telah menerima vaksin, pulih daripada Covid-19 atau disahkan negatif dalam tempoh 48 jam terakhir.
Menurut Colonetta yang telah menerima kedua-dua dos vaksin Covid-19 itu mengatakan walaupun dia mendapat perhatian yang meluas di Instagram dan TikTok, namun kedua ibubapanya agak terkejut dengan situasi tersebut.
Pada 6 Ogos lalu, kerajaan Itali mengkehendaki kod pengimbas tersebut dipamerkan untuk memasuki pawagam, muzium dan kawasan tertutup lain serta aktiviti makan di dalam restoran.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]