
Lawatan Sameer dan Anas ke Paris cukup profesional dan rasmi, sehinggalah sesuatu yang cukup mengejutkan berlaku di depan mata mereka.
Kedua-duanya memang terkejut besar apabila mendapati idola bola sepak mereka, Lionel Messi sedang berdiri di balkoni betul-betul bersebelahan dengan bilik hotel mereka.
Difahamkan Messi tiba di Paris untuk menyertai pasukan Paris Saint-Germain dan menginap di hotel yang sama.
Anas PA dari Thrissur dan Sameer dari Malappuram, terkejut besar sebaik melihat Messi sedang melambai peminat yang sedang menanti penuh sabar di luar hotel semata-mata untuk melihat kelibat pemain bola ternama itu.
Di dalam video tersebut, Anas kedengaran menjerit, “Messi, Messi, Messi, Messi…,” sehingga pemain bola itu memandangnya dan mengangkat tangan sambil memberikan tanda bagus.
Selepas itu Anas sekali lagi kedengaran menjerit penuh keterujaan dalam rakaman video tersebut.
Video yang dikongsi Anas di akaun Facebook miliknya tular bagai pisang goreng panas. Ia kini ditonton hampir 40,000 warganet.
“Kami ada dengar dia menginap di hotel yang sama tapi kami tidak sangka akan berdiri dalam jarak hanya satu balkoni dan melihat dia melambai kepada kami,” ujar Anas.
Sameer juga bertuah kerana dapat merakam gambar kenangan bersama Messi.
“Saya sanggup tunggu lebih dua jam untuk merakam momen hebat dengannya. Sebaik dia keluar sekitar jam 3 petang, saya merayu untuk mengambil gambar selfie,” kata Sameer kepada The Telegraph.
“Jadi dia menoleh beberapa saat untuk saya mengambil gambar walaupun pengawal peribadinya cuba menghalang,” tambah Sameer.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]