Wanita terkejut dulang pembakar IKEA cair dalam ketuhar rupanya plastik

Wanita terkejut dulang pembakar IKEA cair dalam ketuhar rupanya plastik

Tiana Lowe terkeliru dengan warna metalik dan mengaku tidak membaca label sebelum membeli.

Dulang yang dibeli di IKEA itu cair di dalam ketuhar seorang wanita di United Kingdom (UK). (Gambar Facebook IKEA)

Keterujaan seorang wanita di United Kingdom (UK) untuk mencuba dulang pembakar yang baru dibeli di IKEA bertukar menjadi mimpi ngeri yang agak melucukan.

Tiana Lowe dari Manchester terkejut besar apabila dulang pembakar yang digunakan untuk membakar kek kentangnya tiba-tiba cair di dalam ketuhar.

“Apapun terima kasihlah IKEA kerana membuat dulang sajian kelihatan seperti dulang pembakar,” kongsinya di laman rasmi Facebook IKEA.

Rupanya, dulang yang disangka Lowe untuk membakar diperbuat daripada plastik. Difahamkan Lowe terkeliru dengan warna metalik pada dulang tersebut dan mengakui tidak membaca label sebelum membeli.

Akibatnya, Lowe menerima pelbagai reaksi negatif di media sosial, walhal perkongsiannya di Facebook lebih kepada pengalaman yang melucukan.

“Bagi saya ia langsung tidak nampak atau rasa seperti plastik, ia memang sedikit ringan, tapi saya fikir mungkin sebab itu harganya murah. Dan TIDAK, saya tidak membaca keterangan di premis tersebut dengan jelas.

“Tiada sebab untuk saya menyalahkan IKEA. Tolonglah, bagi anda yang terlalu serius dengan perkongsian ini, ia sepatutnya melucukan! Lagipun bukan kamu yang perlu mencucinya,” tambahnya.

Sebahagian pengguna turut mempertahankan Lowe mengatakan ia satu kesilapan biasa yang boleh berlaku kepada sesiapa saja.

“Anda patut beritahu semua orang ia adalah dulang oven. Untuk berlaku adil, ia memang kelihatan seperti dulang untuk oven,” kata seorang warganet.

Walaupun perkongsian Tiana Lowe mengundang banyak reaksi di Facebook, dia masih belum dihubungi syarikat pengeluar perabot dari Sweden itu.

Bagaimanapun, Lowe tidak mengharapkan permohonan maaf sebaliknya memberi cadangan mudah buat IKEA.

“IKEA perlu membuatnya kelihatan seperti plastik dan mungkin menukar warna atau letak satu tanda amaran. Apapun ia kesilapan saya, bukan mereka,” katanya kepada Mirror.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.