Lelaki berang, balas dendam gigit ular sampai mati

Lelaki berang, balas dendam gigit ular sampai mati

Lelaki itu menggigit ular yang menggigitnya berkali-kali sehingga mati kerana mahu membalas dendam.

Lelaki berusia 45 tahun itu dilaporkan menggigit ular yang menggigitnya sehingga mati di sebuah perkampungan di pedalaman Odisha, daerah Jaipur, India.

Lazimnya manusia berdendam dengan manusia, tetapi sebaliknya di sebuah perkampungan di pedalaman Odisha, Jaipur, seorang lelaki berdendam dengan seekor ular.

Kishore Badra, 45, seorang lelaki dari kampung Gambharipatia di bawah blok Danagadi, dikatakan sedang berjalan pulang selepas bekerja di sawahnya apabila tiba-tiba merasa kakinya digigit ular.

Badra yang berang berjaya menangkap reptilia jenis ular kapak itu dan menggigitnya sehingga mati untuk membalas dendam.

“Ada sesuatu yang menggigit kaki saya ketika dalam perjalanan pulang malam tadi. Saya buka lampu suluh dan saya dapati ia adalah sejenis ular kapak yang berbisa.

“Kerana mahu membalas dendam, saya tangkap ular itu dan menggigitnya berulang kali, ia mati di situ juga,” kata Badra.

Petani itu terus pulang ke rumah bersama bangkai ular tersebut dan menceritakan kepada isterinya apa yang berlaku.

Kisah itu mula tersebar dan menjadi perbualan hangat penduduk kampung. Malah, Badra juga tidak keberatan menunjukkan bangkai ular yang digigitnya.

Sebahagian penduduk kampung turut menasihati Badra untuk pergi ke hospital berhampiran, namun dia enggan sebaliknya memilih untuk mendapatkan nasihat dari pengamal rawatan tradisional pada malam yang sama.

Badra bernasib baik kerana bisa patukan ular serta perbuatannya menggigit reptilia berkenaan tidak memberi kesan kepadanya.

“Walaupun saya menggigit ular berbisa itu, saya tidak berdepan sebarang masalah. Saya juga bertemu dengan pengamal rawatan tradisional berdekatan kampung dan berjaya dipulihkan,” kata Badra mengulas pengalaman luar biasanya itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.