
Adakah anda seorang peminat reptilia dan sering tercari-cari kandungan di Internet yang memaparkan reptilia?
Jika ya, anda mungkin pernah mendengar mengenai seorang penjaga zoo yang dikenali sebagai Jay Brewer yang mana, di akaun Instagramnya memang sarat dengan imej dan video reptilia seperti ular dan buaya.
Terkini, Brewer berkesempatan berkongsi video di mana dia sedang memikul seekor ular yang besar di bahunya dan ia mungkin membuat anda terpegun.
Video tersebut memaparkan Brewer memikul seekor ular besar berwarna kuning dari sebuah bilik di zoo ke sebuah bilik yang lain.
“Bila tiada siapa yang dapat membantu mengangkat seekor ular sepanjang 6.7 meter dengan berat 113 kg. Anda perlu lakukannya sendiri dengan cara lama,” kata keterangan gambar tersebut.
Dikongsi pada 5 Ogos lalu, video terbabit menerima lebih 700,000 tanda suka dan pelbagai reaksi warganet.
Rata-rata pengguna media sosial meluahkan kekaguman mereka tidak kurang juga yang takut selain ada yang menyifatkan reptilia tersebut seperti seorang kanak-kanak.
“Ia kelihatan seperti kanak-kanak yang ingin tahu, seronok dapat bersiar-siar,” tulis seorang pengguna Instagram.
“Ia juga seperti sedang menari,” komen seorang pengguna. “Ia agak kelakar dan seram,” ulas seorang lagi.
“Berapa lama untuk seekor ular membesar sehingga sepanjang ini?” tanya seorang pengguna lain.
“Ia mengambil masa beberapa tahun,” jawab Brewer ringkas.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]