
Hanya bermodalkan ekspresi wajah dan bahasa tubuh, sudah cukup buat Khabane ‘Khaby’ Lame pemuda berusia 21 tahun dari Senegal ini untuk mengumpan puluhan juta tontonan di akaun TikToknya.
Demikian resipi rahsia Khaby Lame yang videonya sering mengundang tular walau tanpa perlu mengucap sepatah perkataan pun.
Formulanya cukup mudah, dia hanya memberi respon secara ‘bisu’ kepada TikTok orang lain yang tidak masuk akal atau lucu dengan cara yang menjengkelkan.
Ekspresi wajah dan bahasa tubuhnya sudah cukup untuk mengatasi halangan bahasa dan layak disifatkan sebagai “bahasa global”.
Bintang TikTok yang mula aktif di media sosial selepas dipecat kilang tempat dia bekerja akibat pandemik Covid-19 tahun lalu itu, kini mempunyai lebih 100 juta pengikut dari seluruh dunia, dan mengumpul lebih 1.5 billion tanda suka melalui videonya.
Salah satu videonya yang mengundang 111.5 juta tontonan memaparkan reaksi Lame terhadap seorang lelaki yang memotong iPhonenya kerana sarung yang dibeli terlalu besar.
Lame dilihat melakukan perkara yang sama menggunakan telefonnya, namun dia tidak memotong peranti tersebut sebaliknya mengeluarkan sarung telefon baru yang lebih sesuai dengan saiz telefon berkenaan.
Menurut seorang pakar ekonomi, Samir Choudry, mungkin juga kerana tidak menghasilkan terlalu banyak video menyebabkan penularannya lebih meluas dibantu reaksinya yang bertujuan untuk menyampaikan sesuatu yang lebih masuk akal dan praktikal.
“Kandungannya juga seolah sindiran terhadap tren semasa yang terlalu banyak dihasilkan di media sosial,” kata pakar ekonomi pencipta Samir Chaudry.
Seperti kata Lame kepada New York Times, “Wajah dan ekspresi saya membuatkan orang ketawa.”
Sejak mencipta nama di gelanggang TikTok, peluang pekerjaan mula datang mencurah-curah, termasuk kolaborasi dengan YouTubers tersohor dan jenama pasta Barilla.
Apapun, pemuda yang kini menetap di Itali itu memilih untuk menjana pendapatan secara tetap menerusi Creator Fund Tik Tok, dan bercita-cita untuk membelikan sebuah rumah untuk ibunya apabila keadaan kewangan mengizinkan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]