
Gara-gara ‘kantoi’ selepas memasuki sebuah laman web yang mencurigakan suaminya, seorang wanita tergamak menembak dan mengerat mayat pasangannya itu sebelum meminta bantuan anak-anak untuk membuangnya.
Thessalonica Allen, 34, ditahan kerana membunuh suaminya, Randy Allen pada 27 Julai lalu di LaPorte, Indiana selepas polis menerima maklumat daripada sumber bahawa satu pembunuhan telah berlaku di sebuah pangsapuri di blok 1400 of West 18th Street, Indiana.
Seorang lelaki yang pernah menjalin hubungan dengan Thessalonica, juga bapa kepada salah seorang anaknya, melaporkan kepada polis bahawa bekas kekasihnya itu ada menghubunginya mendakwa mangsa (Randy Allen) mengasari anaknya.
Sebaik tiba di rumah wanita itu, dia menunjukkan mayat Randy di dalam almari, kata polis. Wanita itu meminta bantuannya untuk mengalihkan mayat Randy ke dalam kereta, namun dia enggan dan mahu pulang ke rumah, jelas polis lagi.
Sumber memberitahu polis Thessalonica membuang pistol itu keluar dari kereta ketika menghantarnya pulang ke Michigan.
Berdasarkan maklumat, polis akhirnya menahan Thessalonica di sebuah kedai Ace Hardware, di LaPorte. Dia mengaku menembak suaminya selepas berlaku pertengkaran dan meletakkan mayatnya di dalam almari anaknya, kata polis.
“Dia mengaku terpaksa mengerat kaki Randy kerana tidak muat untuk dimasukkan ke dalam beg. Dia panik dan tidak tahu apa yang harus dilakukan selepas menembaknya, sambil mengakui menggunakan kapak untuk mengerat kakinya.”
Sementara itu, anak-anaknya memberitahu polis, tiada sebarang pergelutan fizikal berlaku pada hari kejadian dan ada mendengar Randy merancang untuk meninggalkan mereka. Ibu mereka juga merancang untuk membakar kereta dan mayat itu di South Bend.
Laporan bedah siasat mendapati, Randy ditembak di tangan kanan sehingga menembusi dada dan abdomen. Tembakan itu turut mencederakan saraf tunjang mangsa menyebabkan dia tidak dapat bergerak dan maut akibat kehilangan banyak darah.
Thessalonica berdepan dua tuduhan menyebabkan remaja bawah umur bertindak jahat, menganiayai mayat, mengubah tempat kematian dan dua tuduhan pengabaian, kata dokumen mahkamah.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]