
Rasa girang sepasang kekasih yang dalam perjalanan menghantar borang permohonan nikah bertukar suspen seketika apabila ditahan di sebuah sekatan jalan raya (SJR).
Mereka yang pada mulanya menyangka hanya akan ditanya mengenai arah tujuan dan dokumen sokongan sebaliknya dikejutkan dengan ceramah ringkas alam perkahwinan.
Perbualannya bersama pegawai trafik bertugas yang sempat dirakam dan dikongsi pemilik akaun TikTok @rashidismailrashidismail itu mengundang tular di media sosial apabila dia dinasihatkan supaya banyak bersabar dan jangan ego.
“Tapi kawan nak nasihat, lima tahun pertama perkahwinan adalah tempoh untuk mengenal.
Kita kena sabar, kita lelaki kita kena kurangkan ego kita. Tak semestinya kita betul, orang kata beras kita beli tak semestinya kita betul,” kata anggota polis tersebut.
Anggota polis yang sedang membuat sekatan jalan raya di Sri Jaya, jalan Maran, Pahang itu turut berkongsi mengenai keberkatan rezeki apabila suami menjaga isteri dan mengamalkan solat dhuha.
“Lagi satu kalau nak tahu rezeki, jaga isteri. Jangan ada skandal. Jaga isteri insyaallah murah rezeki lepas tu amalkan solat dhuha.
Pelbagai reaksi lucu dan kata-kata nasihat buat pasangan bakal pengantin baru serta pegawai SJR dikongsi warganet.
Rata-rata memuji petugas barisan hadapan dan tidak kurang juga yang mengusik pemilik akaun dengan komen-komen mencuit hati.
Sehingga artikel ini disiarkan perkongsian tersebut menerima lebih 74,000 tanda suka, 2,245 komen dan dikongsi 6,500 warganet.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected].