
Kerajaan Mexico semalam mengumumkan langkah baharu bertujuan untuk menyelamatkan porpoise vaquita yang sangat terancam.
Menurut ahli pemuliharaan, hanya 10 sahaja mamalia laut dalam keluarga ikan lumba-lumba paling jarang ditemui di dunia itu dikesan di Teluk California.
Pihak berkuasa berkata objektif utamanya adalah untuk meningkatkan pengawasan dan penyeliaan aktiviti penangkapan ikan di utara Teluk California, satu-satunya lokasi di dunia di mana vaquita ditemui.
Antara langkah berpotensi yang dikenal pasti termasuk penutupan sebahagian atau sepenuhnya kawasan perlindungan vaquita di Teluk kepada kapal nelayan selama sebulan, kata Suruhanjaya Akuakultur dan Perikanan Nasional.
Tetapi itu hanya akan berlaku jika lebih daripada 60 kapal haram dilihat di kawasan utama perlindungan “kawasan toleransi sifar” dalam sehari, menurut peraturan yang diterbitkan dalam warta rasmi Mexico.
Jika tidak, pihak berkuasa akan menjalankan dasar pemantauan, pengawasan dan pencegahan – gambaran kesulitan yang pernah mereka hadapi ketika melaksanakan larangan memancing secara komersial di tengah-tengah kawasan perlindungan tersebut.
Difahamkan, aktivis pemuliharaan sendiri terlibat dalam beberapa konfrontasi ganas dengan nelayan ketika bekerjasama dengan pihak berkuasa Mexico untuk membuang pukat haram.
Mexico telah lama berdepan tekanan untuk melakukan lebih banyak usaha melindungi vaquita, porpoise terkecil di dunia, yang turut dikenali sebagai “panda laut” kerana lingkaran hitam di sekeliling matanya.
Kebanyakan porpoise mati akibat pukat kepung, yang secara teori diharamkan di Teluk California dan biasa digunakan untuk menangkap spesies ikan totoaba yang turut diancam kepupusan.
Pundi kencing totoaba dianggap makanan istimewa di China, dan harganya boleh menjangkau sehingga puluhan ribu dolar di pasaran gelap.
Pengumuman Mexico itu dibuat beberapa hari selepas Pusat Warisan Dunia Unesco menyatakan kebimbangan bahawa vaquita akan lenyap buat selama-lamanya melainkan satu “tindakan tegas” diambil.
Kepulauan dan kawasan perlindungan sekitar Teluk California diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia Unesco pada tahun 2005. Tahap pemuliharaannya akan dikaji semula akhir bulan ini di sesi ke-44 Jawatankuasa Warisan Dunia.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]