Kempen baharu Autism Cafe Project, bantu mereka yang memerlukan

Kempen baharu Autism Cafe Project, bantu mereka yang memerlukan

Perusahaan sosial yang dijalankan terutamanya oleh remaja dalam lingkungan tersebut telah menyediakan makanan untuk barisan hadapan sejak setahun lalu.

Remaja ACP sedang menyiapkan makanan untuk petugas barisan hadapan. (Gambar Autism Cafe Project)
PETALING JAYA:
Sejak setahun lalu, belia dari Autism Cafe Project (ACP) sudah mula sibuk mengisi kotak-kotak dengan makanan yang baru dimasak khusus untuk petugas barisan hadapan sebagai sebahagian daripada kempen “Support a Frontliner”.

Dalam masa yang sama, pengasas ACP Mohd Adli Yahya mendapati ramai keluarga di luar sana yang masih bergelut untuk mencari sesuap nasi.

“Sekiranya ada bungkusan makanan yang lebih selepas membantu barisan hadapan, kami akan menyumbangkannya kepada insan memerlukan yang melalui kafe kami,” kata Adli, yang memulakan kafe itu pada tahun 2016 untuk melibatkan anak lelakinya Luqman yang autisme dan memberinya pekerjaan.

“Kami secara tak sengaja berbual dengan mereka dan menyedari betapa gentingnya keadaan ketika ini. Ada satu keluarga, suaminya bekerja sebagai penghantar barangan yang mengalami kemalangan, bayangkan bagaimana mereka nak beri makan kepada empat anak mereka.”

Salah seorang anggota ACP, Zikri menyediakan nasi briyani terkenal sentuhannya. (Gambar Autism Cafe Project)

Kisah-kisah sebegini memberi inspirasi kepadanya untuk tampil dengan kempen “Beli dan Sumbang Kembali” ACP. Orang ramai dijemput untuk menaja makanan dengan harga serendah RM5 satu hidangan, menyumbang makanan yang dimasak atau menyediakan bahan-bahan untuk dimasak oleh remaja ACP.

Pasukan ini menyasarkan untuk menyediakan 200 bungkus makanan setiap hari untuk diedarkan.

Satu daripada menu istimewa ACP, nasi kerabu bunga telang. (Gambar Autism Cafe Project)

“Kami bermula pada 9 Julai lalu dengan memasak nasi lemak, dan tanpa disedari, orang ramai mula menghantar bahan mentah seperti ayam dan makanan yang dimasak seperti bubur untuk ditambahkan ke dalam campuran itu,” kata Adli kepada FMT.

“Ia benar-benar menunjukkan betapa mulianya hati orang Malaysia.”

Petugas barisan hadapan Hospital Shah Alam menerima set makan tengah hari mereka yang disediakan ACP. (Gambar Autism Cafe Project)

Malah ada penyumbang yang memberikan durian. “Kami menyerahkannya kepada salah satu keluarga ACP dan mereka membuat pengat durian yang enak. Ini buah yang sangat mahal, jadi anda boleh bayangkan kegembiraan di wajah mereka. ”

ACP akan meneruskan inisiatif barisan hadapan mereka sehingga bulan depan. Setakat ini, mereka telah memberi makanan kepada Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang, HUKM dan Hospital Shah Alam.

Petugas barisan hadapan Hospital Sungai Buloh gembira menerima makanan yang disiapkan segar untuk mereka. (Gambar Autism Cafe Project)

“Apabila barisan hadapan menyatakan penghargaan mereka dan mengirimkan gambar kegembiraan mereka, ia memberi kami satu kepuasan,” kata Adli. “Mereka mempertaruhkan nyawa untuk kita, jadi hanya dengan mengukir senyuman di wajah mereka dan perut yang kenyang dapat kami sumbangkan untuk mereka.”

Sejak penubuhannya, ACP telah menyediakan banyak pekerjaan kepada belia autisme serta peluang untuk bersosial dalam lingkungan yang terpelihara. Kafenya, yang sebelum ini terletak di Puchong dan Shah Alam, juga adalah tempat yang selamat untuk ibu bapa kanak-kanak berkeperluan khas.

Rozy dan anaknya Ahmad sedang menyediakan roti jala. (Gambar Autism Cafe Project)

“Memberi makanan kepada barisan hadapan dan mereka yang memerlukan secara tidak langsung membantu kami untuk terus bertahan,” kata Adli, mengakui bahawa usaha pendanaan awam (crowdfunding) mereka telah memungkinkan mereka untuk meneruskan inisiatif itu, bukan hanya buat mereka yang memerlukan tetapi juga anggota ACP.

Jelasnya, anak muda memerlukan rutin berstruktur yang apabila terganggu, boleh menyebabkan mereka gelisah dan kecewa.

“Dengan melibatkan mereka dengan aktiviti memasak, ia membantu memenuhi waktu terluang, mencari nafkah selain memberi kembali kepada masyarakat.

“Kami ingin mengubah persepsi masyarakat bahawa orang kelainan upaya memerlukan bantuan berterusan daripada orang ramai, dan kali ini tiba giliran mereka pula untuk membantu orang lain.”

Kedai ACP kini terletak di pusat membeli-belah DaMen di Subang Jaya, tetapi memandangkan keadaan semasa, Adli menyedari betapa pentingnya menjaga keselamatan anak-anak muda ini. Oleh itu, ACP menggunakan kakitangan minimum yang beroperasi secara jauh dari kediaman mereka.

“Dengan bantuan ahli keluarga yang menyokong mereka, kami menyediakan rutin dan rasa bahawa mereka punya tujuan dengan memasak hidangan yang berbeza, yang kemudiannya akan dikirim ke kafe untuk diedarkan,” kata Adli.

Meja akan disediakan di kafe pada hari Jumaat dari jam 12 hingga 2 petang, dan mereka yang lapar dipersilakan untuk makan di sini. Sebarang lebihan akan disumbangkan kepada insan lain yang memerlukan.

Mereka yang ingin membantu ACP boleh menyumbang terus ke A Autism Project Enterprise, nombor akaun CIMB 8603 498 598.

Untuk maklumat lebih lanjut, lawati ACP di Facebook dan Instagram, atau hubungi Mohd Adli di 012-3490813.

Projek Autism Cafe
LG-12, DaMen Mall
USJ 1, 47600 Subang Jaya
Selangor

KLIK DI SINI UNTUK DATA TERKINI DI SITUASI COVID-19 DI MALAYSIA

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.