Awas! T-Rex datang nak cucuk vaksin

Awas! T-Rex datang nak cucuk vaksin

Kenny Sia, 39, sengaja mengenakan kostum dinosaur untuk membuat orang ketawa.

Kapsyen: Kenny Sia, yang mengenakan kostum T-Rex, menerima vaksinasi di Kuching, Sarawak. (Gambar Kenny Sia)
KUCHING:
Rasa resah gelisah ketika orang ramai menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di pusat vaksinasi pada hujung minggu lalu bertukar cemas apabila kelibat seekor tyrannosaurus rex dilihat turut sama beratur bersama mereka.

Tapi mereka tidak perlu panik. Itu sebenarnya adalah kelibat seorang instruktur kecergasan, Kenny Sia, 39, yang sengaja mengenakan kostum dinosaur khusus untuk janji temu vaksinasinya pada Ahad lalu.

Seperti yang dijangkakan, suasana suram, cemas, panik dan keletihan terutama dalam kalangan petugas barisan hadapan di sebuah pusat pemberian vaksin di Kuching bertukar ceria dek kerana terhibur dengan kehadiran sang T-Rex.

Sia memberitahu Reuters dia memilih memakai kostum itu semata-mata untuk membuat orang ketawa selain melindungi dirinya.

“Alang-alang hanya memakai pelitup muka atau pelindung muka, saya memutuskan untuk mengenakan sesuatu yang lebih ‘menyeluruh’. Keseluruhan sut itu secara prinsipnya sama seperti pakaian perlindungan diri (PPE). Ia seolah memakai sut ‘overall’,” katanya.

“Saya tahu petugas barisan hadapan di sana bekerja siang dan malam, memberi vaksin kepada 5,000 hingga 6,000 orang setiap hari, jadi mereka mungkin sangat letih. Apa sahaja yang dapat menaikkan semangat mereka, saya dengan senang hati sudi melakukannya. ”

Malaysia telah memvaksinasi sekitar 10% penduduknya, kadar yang lebih pantas berbanding kebanyakan negara jiran lain, walaupun begitu, jumlah jangkitan yang dilaporkan tetap tinggi.

Negara mencatatkan 11,079 kes baru pada Selasa, menjadikan jumlah jangkitan 855,949, yang ketiga tertinggi di Asia Tenggara selepas Indonesia dan Filipina.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.