Nak ‘internet’ laju sampai belajar luar rumah

Nak ‘internet’ laju sampai belajar luar rumah

Seorang pengguna Twitter berkongsi gelagat anak saudaranya yang terpaksa duduk di luar rumah untuk mendapatkan capaian internet lebih laju bagi mengikuti kelas secara maya.

Afiq yang ditemani adiknya terpaksa duduk di luar rumah kerana capaian internet di rumahnya kurang memuaskan. (Gambar Twitter)

Sejak Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan, banyak cabaran yang terpaksa dihadapi murid, guru dan ibu bapa dalam memastikan kelancaran sesi pembelajaran berkenaan.

Perkara paling asas yang harus ada ialah peranti bersesuaian dan capaian internet berkelajuan tinggi bagi membolehkan setiap sesi itu tidak terganggu kerana jika tidak ia akan merunsingkan semua orang.

Kesukaran itu turut dialami seorang murid apabila terpaksa duduk di bahu jalan berhampiran rumahnya semata-mata ingin mendapatkan capaian internet untuk mengikuti kelas secara maya.

Gambar kanak-kanak bernama Afiq itu dikongsi oleh salah seorang ahli keluarganya @AimanPaku di Twitter beberapa hari lalu.

Menurutnya, kelajuan internet di rumah anak saudaranya itu kurang memuaskan memandangkan dia tinggal di kawasan pedalaman di ladang kelapa sawit.

“Kasihan anak saudara aku, nak dapat internet punya pasal untuk kelas secara maya. Duduk di luar rumahnya di tengah ladang sawit. Kelajuan internet tidak begitu kuat.

“Mujur adiknya datang menaiki motorsikal menemaninya. Semoga berjaya Afiq Ho,” tulisnya sambil berseloroh.

Pengguna Twitter itu berkata, perkongsian gambar terbabit bukan ingin meraih simpati daripada mana-mana pihak tetapi sekadar terhibur dengan gelagat comel anak saudaranya.

Katanya, capaian internet di dalam rumah mereka masih baik dan boleh digunakan untuk menghantar mesej tetapi tidak berupaya memberi kualiti panggilan video terbaik sekali gus menyebabkan pembelajaran terganggu.

“Saya kongsi gambar ini kerana mereka nampak comel belajar di luar. Bukan untuk meraih simpati mengatakan mereka ini susah. Mereka bahagia saja hidup di situ, cukup makan dan pakaian cuma internet saja kurang memuaskan.

“Dalam rumah internet boleh digunakan untuk WhatsApp tetapi untuk dapatkan video kelas yang jelas itu agak kurang dan tersangkut. Jadi dia pun duduk di luar untuk mendengar pengajaran guru dengan jelas. Mohon netizen jangan marah ya,” katanya.

Dia kemudiannya menerima maklum balas segera daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang akan mengambil tindakan lanjut untuk memeriksa capaian internet di kawasan rumah berkenaan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.