
Seorang wanita berusia 107 tahun mendedahkan rahsia umurnya yang panjang mungkin disebabkan amalan meminum 13 cawan teh yang dilakukan pada setiap hari.
Renee Glover yang berasal dari Durham, England Utara baru saja menyambut ulang tahun kelahirannya, sempat melalui dua zaman perang dunia, pandemik influenza serta yang terbaru pandemik Covid-19.
Cucunya, Sarah Renwick, 51, berkata, mereka merasakan jangka hayat neneknya yang panjang adalah disebabkan faktor genetik, namun Glover sering mengatakan teh membantunya hidup lama.
“Setiap hari, nenek pasti meminum 13 cawan teh. Dia memberitahu bahawa ianya adalah rahsia umurnya yang panjang. Kami merasakan ia adalah faktor genetik,” katanya.
Glover membesar di Frosterley, Durham bersama kakaknya, Nancy dan ibu bapa, Frank dan Ethel Carruthers.
Pada usia 19 tahun, dia berkahwin dengan Edwin Glover dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Judith.
Ketika Perang Dunia Kedua, Glover pernah ditugaskan menjaga senjata di Kilang Royal Ordinance di Newton Aycliffe dan kini dia dikenali sebagai ‘The Queen’ di kalangan kakitangan dan penghuni rumah jagaan Wilton House sejak tinggal di situ lima tahun lalu.
Sempena ulang tahun kelahirannya, rumah jagaan itu turut meraikan Glover dengan menyediakan kek selain terdapat 587 keping kad ucapan yang dihantar kepadanya.
“Nenek sebenarnya seorang yang kelakar dan sentiasa membuat lawak. Dia juga gemar menyanyi dan anda sentiasa terdengar dia mengalunkan lagu.
“Dia mempunyai personaliti yang menarik dan kami semua mengaguminya. Dia adalah sebahagian besar daripada hidup kami dan kami bertuah mempunyai nenek sepertinya,” kata Renwick.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]