Umpan ayam, lembu untuk pujuk dapatkan suntikan vaksin

Umpan ayam, lembu untuk pujuk dapatkan suntikan vaksin

Pihak berkuasa melakukan pelbagai cara untuk menggalakkan orang ramai datang mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Beberapa penduduk kampung Sindanglaya bergambar dengan ayam hidup yang diberikan kepada mereka selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 dos pertama di Indonesia. (Gambar Reuters)

Pihak berkuasa di beberapa negara terpaksa ‘mengumpan’ orang ramai dengan pelbagai hadiah seperti ayam hidup, lembu, cuti tanpa gaji serta apartmen mewah semata-mata untuk memujuk mereka mendapatkan suntikan vaksin.

Ia ditawarkan menerusi sesi cabutan bertuah di beberapa negara termasuk Indonesia, Thailand serta Hong Kong memandangkan masih ramai yang enggan untuk mendapatkan suntikan terbabit dalam menangani penularan Covid-19.

Di daerah Mae Chaem, Thailand, pihak berkuasa baru saja melancarkan acara cabutan bertuah dengan menawarkan seekor lembu kepada penduduknya yang rata-ratanya adalah penternak.

Ia dikatakan berjaya menarik ramai penduduk yang datang untuk mendapatkan suntikan vaksin kerana ingin memenangi hadiah bertuah itu.

“Ini adalah hadiah yang terbaik,” kata Inkham Thongkham, 65, yang memenangi hadiah cabutan bertuah, seekor lembu betina yang bernilai 10,000 baht (RM1,317) selepas menerima suntikan vaksin.

Pihak berkuasa memaklumkan, taktik mereka membuahkan hasil apabila kini lebih 50 peratus daripada 1,400 penduduk di situ tampil mendaftar dan mendapatkan suntikan.

Pada masa sama, ada juga yang ditawarkan ganjaran ayam hidup sebagai insentif kepada warga emas di Indonesia.

“Terdapat pelbagai alasan diberikan oleh warga emas untuk tidak mendapatkan suntikan. Ada yang mahu tetapi tidak datang selain ada juga yang takut.

“Jadi kita tawarkan ganjaran ayam hidup untuk menggalakkan mereka datang mendapatkan suntikan,” kata ketua polis daerah tempatan, Galih Aprian.

Di Hong Kong pula, orang ramai ditawarkan hadiah baucer beli-belah, penerbangan serta sebuah unit apartment baru bernilai HK$10.8 juta (RM5.8 juta).

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.