Jurukamera terpantas curi perhatian

Jurukamera terpantas curi perhatian

Pelajar Universiti Datong curi perhatian netizen dengan aksi lari pecutnya ketika merakam acara larian 100 meter di kampusnya.

Ramai terpegun melihat kesungguhan pelajar ini yang ditugaskan merakam acara sukan di kampusnya.

Dia mungkin belum mencapai tahap seperti legenda pecut dunia, Usain Bolt namun jurukamera ini sudah pun mencipta fenomena di media sosial dengan kepantasannya di trek larian.

Menerusi satu rakaman video berdurasi 50 saat, lelaki terbabit menunjukkan kebolehannya berlari pecut demi mendapatkan rakaman terbaik bagi sebuah acara larian sebuah kolej di China.

Aksi memukau itu berjaya mengalih perhatian netizen ke arahnya yang kagum dengan usaha serta kesungguhannya dalam melaksanakan tugas seperti diarahkan.

Dia yang juga pelajar Universiti Datong di wilayah Shanxi ditugaskan untuk merakam video acara larian 100 meter yang diadakan di kampusnya, lapor South China Morning Post.

Sebaik saja wisel dibunyikan, dia terus memecut ke arah garisan penamat bersama beberapa peserta lain yang bertanding dalam acara berkenaan.

Lebih mengagumkan lagi apabila pelajar terbabit mampu berlari sepantas kilat sambil membawa kamera serta peralatan lengkap seberat empat kilogram (kg).

Pada masa sama, dia secara tidak langsung cuba membuktikan betapa sukarnya tugas seorang jurukamera dalam memastikan penonton dapat melihat rakaman dari sudut terbaik.

Video yang dimuat naik di YouTube itu menjadi tular di platform media sosial lain dan sehingga kini sudah mendapat lebih 1 juta tontonan.

Ramai netizen yang terpegun dengan pelajar itu meninggalkan pelbagai komen dan ada juga mencadangkan supaya dia berhak mendapat hadiah dalam acara itu.

Tidak kurang juga ada yang menulis komen lucu dan menghiburkan netizen lain.

“Bayangkan bagaimana perasaan pelari apabila jurukamera pula yang menjadi tular di media sosial,” tulis seorang netizen.

“Anda boleh tahu sebenarnya ramai yang menyaksikan video ini adalah kerana jurukamera bukannya untuk menonton aksi pelari,” kata seorang lagi netizen.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.