
Setiap hari pasti ada saja kisah lucu yang dikongsikan di media sosial hingga menjadi tular.
Terbaru, seorang peniaga melalui pengalaman mencuit hati apabila mendapat tempahan daripada pelanggan yang rupa-rupanya seorang kanak-kanak berusia 10 tahun.
Kejadian dipercayai berlaku di Kelantan apabila kanak-kanak itu didakwa bermain dengan telefon pintar ibu bapanya dan membuat tempahan untuk membeli tiga jambangan wang kertas tanpa pengetahuan keluarga.
Kisah dikongsi oleh pengguna Facebook bernama Mardhiyana Abidin yang baru saja dimuat naik itu turut menceritakan kepayahannya melayan pelanggan terbabit.
Walau begitu, dia tetap bersikap positif biarpun bingung untuk memahami tulisan mesej yang dihantar oleh kanak-kanak berkenaan selain tidak menaruh sebarang syak wasangka.
Peniaga itu turut memuat naik beberapa tangkap layar perbualan ringkas mereka ketika berurusan membuat tempahan.
“Alkisahnya hari ini dapat tiga pesanan jambangan wang kertas untuk orang yang sama. Punya la susah untuk faham butiran lanjut daripada pelanggan ini,” luahnya.
Dia kemudiannya berdepan dengan satu lagi dugaan untuk mencari rumah pelanggan memandangkan kanak-kanak itu tidak berkongsi lokasinya.
Disebabkan maklumat tidak lengkap, peniaga itu terpaksa bersusah-payah mencari rumah sebelum dikejutkan dengan kemunculan pelanggan sebenar.
“Sampai nak membuat penghantaran pun susah kerana tidak beri lokasi rumah, perjalanan memakan masa setengah jam selain tambahan lagi sejam ke hulu ke hilir di kawasan sama.
“Bila dihubungi tidak dijawab manakala mesej menerusi WhatsApp juga tidak dibalas. Apabila sampai di hadapan rumah baru tahu rupanya cucu Darjah 4 yang membuat pesanan,” tulisnya lagi.
Dia sempat berkongsi pesanan kepada orang ramai supaya memantau aktiviti anak masing-masing yang boleh memeningkan kepala sekiranya tersilap membuat tempahan di aplikasi.
“Tempahannya belum dibayar. Bila hubungi ibu bapanya mungkin terkejut mendengar jumlah bayaran sebenar. Pantaulah anak-anak ketika menggunakan telefon pintar dan kita tidak tahu apa dipesannya,” katanya yang turut mengingatkan diri sendiri supaya bertanyakan usia pelanggan selepas ini.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]