Rangka dinosaur hampir lengkap ditemui di China

Rangka dinosaur hampir lengkap ditemui di China

Ia dipercayai mungkin rangka daripada spesis Lufengosaurus gergasi yang hidup ketika awal zaman dinosaur.

Beberapa ahli paleontologi China menemui rangka dinosaur yang hampir lengkap di Lufeng.

Beberapa ahli paleontologi berjaya menemui rangka seekor dinosaur yang hampir lengkap berusia sekitar 180 juta tahun di Lufeng, barat daya China.

Penemuan yang jarang berlaku itu mendapati 70 peratus daripada rangka berkenaan masih lengkap dan ia dipercayai berasal daripada spesis dinosaur yang mempunyai anggaran panjang hampir lapan meter.

Berdasarkan kajian terhadap fosil yang ditemui sejak beberapa tahun lalu, rangka itu mungkin daripada spesis Lufengosaurus gergasi yang hidup ketika awal zaman dinosaur.

Menurut Ketua Pusat Penyelidikan dan Konservasi Fosil Dinosaur Bandar Lufeng, Wang Tao, penemuan rangka seperti itu adalah jarang berlaku di mana-mana kawasan di seluruh dunia.

Katanya, fosil terbabit dianggap sebagai ‘tinggalan berharga’ untuk negara China dan mereka berharap dapat menemui tengkorak dinosaur terbabit.

“Perkara ini jarang berlaku di seluruh dunia apabila rangka dinosaur yang hampir lengkap berjaya ditemui.

“Berdasarkan fosil bahagian ekor dan tulang paha yang ditemui beberapa tahun lalu, rangka ini dipercayai daripada spesis Lufengosaurus gergasi yang hidup ketika zaman awal Dinosaur,” katanya.

Pasukan itu merancang untuk melakukan penggalian segera untuk menyelamatkan rangka terbabit memandangkan ia ditemui di kawasan berisiko berlakunya hakisan tanah.

Spesis Lufengosaurus pernah menjadi perhatian dalam laporan media pada 2017 apabila saintis menemui protein kolagen yang masih elok dalam tulang rusuk fosil dinosaur itu.

Kandungan protein itu dikatakan berusia 100 juta tahun iaitu lebih lama daripada mana-mana protein yang pernah ditemui sebelum ini, lapor BBC ketika itu.

Lufengosaurus dipercayai adalah sejenis herbivor berkaki empat dan digelar sebagai ‘Cicak Lufeng’.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.