Rumah Darth Vader dijual dengan harga RM17.7 juta

Rumah Darth Vader dijual dengan harga RM17.7 juta

Rumah dibina pada 1992 itu sering menjadi tumpuan orang ramai yang tertarik dengan rekaan uniknya.

Kediaman unik yang terletak di Houston, Texas ini dikatakan milik seorang doktor bedah plastik terkenal. (Gambar Martha Turner Sotheby’s International Realty)

Sejak bertahun-tahun lamanya, sebuah kediaman unik yang terletak di Houston, Texas, Amerika Syarikat ini sering menjadi perhatian orang ramai yang tertarik dengan reka bentuk moden dan kontemporarinya.

Kediaman yang digelar sebagai ‘Rumah Darth Vader’ itu bukan hanya terkenal di kawasan kejiranan sekitar malah orang luar yang berminat untuk melihatnya secara dekat.

Kini, rumah yang dibina pada tahun 1992 itu dikatakan sudah disenaraikan dalam senarai hartanah untuk dijual pada harga $4.3 juta (RM17.7 juta).

Sekali imbas, bahagian luarnya kelihatan sama dengan topi keledar ikonik Darth Vader daripada filem Star Wars yang menjadi kegilaan ramai di seluruh dunia.

Difahamkan, pemiliknya adalah seorang doktor bedah plastik terkenal di Houston yang mempunyai latar belakang dalam industri muzik.

Kediaman mewah itu memiliki ruang tamu berkeluasan 7,040 kaki persegi selain dilengkapi empat bilik tidur, lima bilik air, ruang balkoni yang luas serta empat garaj kereta.

Beberapa keping gambar turut menunjukkan ruang keluarga terdiri daripada beberapa tingkat yang dinamakan sebagai ‘The Pit’.

Pemiliknya menggunakan kreativiti tersendiri untuk menyerlahkan lagi ciri unik kediaman terbabit termasuk menggunakan gabungan batu serta konkrit.

Manakala ruang bacaannya pula dibina supaya kelihatan seolah-olah seperti sebuah pusat kawalan untuk tuan rumah.

“Rumah ini direka dan dibina sendiri pada tahun 1992. Penjualnya berperanan dalam melakukan reka bentuk dan pembinaannya ketika itu.

“Ia adalah sebuah kediaman berkonsep moden dan kontemporari yang dilakukan sendiri oleh pemiliknya,” kata seorang ejen hartanah yang mengendalikan urusan penjualan rumah terbabit, Nadia Carron.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.