Kipas hospital lagi ‘gerun’ daripada Covid-19

Kipas hospital lagi ‘gerun’ daripada Covid-19

Seorang pesakit Covid-19 tular kerana berkongsi pengalaman lucunya ketika terlantar di sebuah hospital di India.

Rakaman video pengalaman lucu seorang pesakit Covid-19 di India yang menjadi tular di media sosial. (Gambar Twitter)

Bukan kerana penderitaan yang dialami akibat jangkitan Covid-19 menyebabkan lelaki ini mencuri perhatian di media sosial, sebaliknya pengalaman lucu yang dikongsinya ketika terlantar di sebuah hospital di India.

Berdasarkan satu video yang dikongsi di Twitter, lelaki terbabit sempat membuat rakaman selama lebih dua minit bagi menunjukkan keadaan di salah sebuah hospital terkenal di bandar Chhindwara.

Pada mulanya, dia menceritakan betapa sibuknya keadaan di hospital ketika itu apabila kakitangan barisan hadapan berdepan dengan ledakan kes Covid-19 di negara berkenaan.

Bagaimanapun, lelaki itu berkata, keadaan kipas siling di hospital itu lebih ‘menggerunkan’ berbanding ancaman virus korona kerana ia boleh menimpanya hingga mati pada bila-bila masa.

Dia menggambarkan perasaan bimbangnya sambil menunjukkan keadaan kipas yang kelihatan kurang stabil dan seolah-olah akan tercabut menghempapnya.

“Saya dimasukkan ke sebuah hospital terkemuka di Chhindrawa. Tengoklah situasi di sekeliling apabila semua orang sibuk melakukan tugas masing-masing.

“Namun, terdapat sebuah kipas yang sedang berpusing betul-betul di atas katil saya. Setiap kali memandangnya saya berasa takut sekali.

“Saya bukannya takut kepada virus korona tetapi lebih takut dengan keadaan kipas ini,” katanya dalam video berdurasi 2 minit 18 saat itu.

Katanya, dia sudah memberitahu kakitangan hospital supaya menukar kipas baru atau sekurang-kurangnya menukar katilnya tetapi tidak diendahkan.

“Kipas ini menghantui saya setiap malam seperti akan jatuh pada bila-bila masa.

“Sebelum mati akibat Covid-19, saya mungkin mati akibat ditimpa oleh kipas ini,” katanya.

Namun, masalah yang diajukan itu dilaporkan sudah diambil tindakan oleh pihak hospital menerusi satu rakaman video terbaru yang tular semalam.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.