
Kepala arca Maharaja Rom pertama, Augustus yang diperbuat daripada batu marmar berusia 2,000 tahun berjaya ditemui di Isernia, sebuah bandar terletak di wilayah Molise.
Penemuan itu dilakukan oleh seorang ahli arkeologi, Francesco Giancola ketika melakukan kerja pemulihan untuk membaiki semula dinding tinggalan zaman pertengahan yang runtuh akibat hujan ribut pada 2013.
Menurut Giancola, kerja itu dilakukan bagi pihak perbandaran Isernia dan dia langsung tidak menyangka menemui tinggalan bersejarah yang penting itu.
“Ketika menggali bahagian belakang dinding itu, saya melihat warna tanah bertukar warna.
“Kami terus menggalinya sehingga seketul batu marmar terkeluar dari situ. Saya terus ternampak sebuah kepala patung Augustus berdasarkan rambut, bentuk serta bahagian matanya,” katanya.
Giancola berkata, dia kemudiannya terus menghubungi pihak berkuasa, datuk bandar serta kementerian kebudayaan warisan.
Menurut ahli arkeologi di kementerian itu, Maria Diletta Colombo, bahagian arca berukuran 35 sentimeter itu dipercayai berasal antara 20 sebelum masihi dan 10 masihi.
“Ia adalah patung yang sangat penting dan kami tidak tahu mengapa ia ditemui di sini. Ia mungkin ditempatkan dalam sebuah kuil ajaran kultus keluarga imperialis atau bangunan. Namun, ia cuma hipotesis memandangkan kami tidak tahu di mana bangunan itu.
Colombo berkata, kepala itu mungkin terpisah daripada patung setinggi lebih 2 meter itu yang ia dihasilkan menggunakan batu marmar sama digunakan oleh artis zaman pembaharuan, Michelangelo.
Isernia atau lebih dikenali sebagai Aesernia dalam dunia purba, adalah tempat yang didiami orang Italic, Samnites sebelum berkembang menjadi tanah jajahan Rom.
“Isernia mempunyai banyak sejarah purba dan tinggalan arkeologi masih tertanam di seluruh bandar ini.
Tinggalan ini amat penting untuk dicari kerana ia menggambarkan kehadiran bangunan yang mempunyai nilai tertentu,” kata datuk bandarnya, Giacomo D’Apollonio.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]