Bakal suami tak hafal sifir dua, wanita batal perkahwinan

Bakal suami tak hafal sifir dua, wanita batal perkahwinan

Pengantin perempuan uji bakal suami dengan soalan Matematik kerana curiga dengan latar belakang pendidikannya

Ia mungkin lucu tetapi begitulah situasi yang berlaku di India apabila seorang wanita nekad membatalkan majlis perkahwinannya sendiri gara-gara bakal suami tidak menghafal sifir dua.

Menurut satu laporan media, pasangan terbabit sepatutnya melangsungkan perkahwinan yang diaturkan keluarga itu pada 1 Mei lalu di Uttar Pradesh, India.

Bagaimanapun, tibanya hari bahagia itu, pengantin lelaki ‘dikejutkan’ dengan soalan Matematik apabila dikehendaki membacakan sifir dua.

Ia dilakukan hanya kerana wanita terbabit berasa curiga dengan latar belakang pendidikan lelaki itu lalu cuba menguji mindanya dengan soalan asas Matematik.

Keadaan itu mungkin disebabkan dia terlalu pentingkan tahap pendidikan seseorang menyebabkannya berani membatalkan perkahwinan.

Inquirer yang memetik wanita itu sebagai berkata, dia tidak boleh mendirikan rumah tangga dengan seseorang yang langsung tidak tahu mengenai asas mengira.

Menurut sepupunya pula, keluarga pihak lelaki juga tidak pernah memaklumkan mereka mengenai latar pendidikannya kepada mereka.

“Dia mungkin langsung tidak pernah bersekolah. Keluarga pengantin lelaki dianggap menipu kami.

“Sepupu saya mengambil tindakan yang sangat berani kerana membatalkan perkahwinan dan tidak takut dengan kecaman masyarakat,” katanya.

Tindakan itu juga menyebabkan kedua-dua keluarga terpaksa berbincang semula untuk memulangkan semua pemberian hadiah termasuk barangan kemas untuk majlis perkahwinan itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.