
Kalau sudah minat, tiada apa yang dapat menghalang dua peminat tegar watak robot kucing kesayangan ramai, Doraemon untuk mengadakan majlis pertunangan mereka serba biru mengikut tema watak animasi popular itu.
Khanh Lam, 28 dan Xuan Khanh, 29, tidak mengambil masa terlalu lama untuk memikirkan tema apa yang sesuai untuk majlis itu memandangkan kedua-duanya amat meminati watak berkenaan.
Biarpun kelihatan agak kebudak-budakan, namun pasangan dari Vietnam itu tidak menyangka ia boleh diterima oleh ahli keluarga serta tetamu yang hadir.
Beberapa keping gambar majlis mereka itu terus menjadi perhatian netizen selepas ia tular di media sosial.

Segala-gala kelengkapan di majlis itu adalah mengikut tema iaitu daripada kain alas meja, kek serta pakaian gadis pengiring.
Kebanyakan daripada perhiasan di majlis pertunangan itu juga dikatakan dihasilkan sendiri oleh mereka dengan menggunakan patung Doraemon.
Minat Khanh Lam terhadap watak itu sebenarnya bermula sejak kecil apabila dia sering membaca komik Doraemon dan manga di kedai buku milik keluarganya.

Pasangan itu tidak mengeluarkan kos yang besar untuk mengadakan majlis pertunangan memandangkan patung dan perhiasan kebanyakan adalah milik sendiri atau pemberian keluarga.
Mereka yang merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada Julai depan akan tetap memilih tema sama untuk majlis berkenaan.
Robot kucing itu adalah watak paling popular sepanjang zaman dan mempunyai ramai peminat di seluruh dunia termasuk sebuah keluarga di Indonesia yang menghiasi rumah mereka dengan tema Doraemon.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]