Nelayan temui udang karang biru di England

Nelayan temui udang karang biru di England

Udang karang satu dalam dua juta ini ditangkap di Cornwall sebelum dilepaskan semula.

Lambourn berkongsi gambar udang karang berwarna biru yang ditangkapnya. (Gambar Tom Lambourn/ BNPS)

Seorang nelayan terpegun melihat udang karang pelik berwarna biru yang berjaya ditangkapnya sebelum melepaskannya semula di perairan Cornwall, England.

Tom Lambourn, 25, yang berasal dari Newlyn menemui udang karang sepanjang 30 sentimeter terbabit ketika keluar memancing di bandar pesisir Penzance.

Hidupan aneh ibarat ‘satu dalam dua juta’ itu menyebabkan Lambourn tidak mahu ketinggalan dan berkongsi beberapa keping gambar udang karang berkenaan.

“Anda tidak tahu apa yang akan ditangkap dan sudah tentu saya tidak menjangkakan tangkapan ini mempunyai warna lain daripada yang lain.

“Ini adalah musim kedua saya keluar memancing dan saya merasakan diri ini amat bertuah. Saya mengukurnya namun ia terlalu kecil menyebabkan saya melepaskannya semula.

“Jika saiznya lebih besar, ia mungkin akan dibawa ke tempat Penetasan Negara. Saya menghantar beberapa gambar kepada mereka dan katanya ia terlalu istimewa ibarat satu dalam dua juta,” katanya.

Pada 2005, Professor Ronald Christensen di Universiti Connecticut pernah menemui udang karang berwarna biru yang mengalami kecacatan genetik.

Kecacatan itu menyebabkan hidupan berkenaan mengeluarkan protein pada tahap berlebihan yang digabungkan bersama molekul karotenoid merah dikenali sebagai astaxanthin.

Ia kemudiannya membentuk warna biru dipanggil crustacyanin sekali gus memberi warna berbeza kepada udang karang itu.

“Saya merasakan terdapat banyak lagi udang karang berwarna biru tetapi kebanyakannya mati kerana menjadi sasaran pemangsa,” katanya.

Pada 2016 juga, seekor udang karang biru pernah ditangkap oleh nelayan, Keith Setter di Ladram Bay, luar pesisir Devon sebelum dilepaskan semula ke dalam laut.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.