Lelaki cipta rekod ponteng kerja 15 tahun

Lelaki cipta rekod ponteng kerja 15 tahun

Seorang kakitangan hospital tidak pernah lapor diri ke tempat kerja terima gaji seperti biasa

Seorang lelaki yang dikatakan bekerja di hospital ini dikesan ponteng kerja selama 15 tahun.

Seorang lelaki Itali dilaporkan ‘berjaya’ memecah rekod negara itu kerana menjadi individu paling lama ponteng kerja iaitu selama 15 tahun.

Walaupun begitu, dia yang tidak pernah melapor diri ke tempat kerja dalam tempoh berkenaan tetap mengambil gajinya seperti biasa.

Menurut laporan media tempatan, lelaki yang bekerja di sebuah hospital kerajaan di Calabria, selatan Itali itu menerima gaji sebanyak 500,000 euro (RM2.4 juta) sepanjang tempoh 15 tahun itu.

Kes itu menyebabkan lelaki berusia 60an itu kini disiasat atas kesalahan melakukan penipuan, pemerasan serta menyalah guna kuasanya, lapor agensi berita Itali, ANSA.

Manakala enam daripada pegawai atasan di hospital terbabit juga dilaporkan disiasat berhubung kes berkenaan.

Laporan awal kejadian mendapati lelaki terbabit melakukan ancaman dan menakutkan rakan sekerjanya supaya tidak memaklumkan sesiapa mengenai ketidakhadiran ke tempat kerja dengan tujuan mengelak tindakan disiplin.

Pada 2005 iaitu ketika dia diambil bekerja, lelaki berkenaan dilaporkan dituduh mengancam pengurus serta keluarganya.

Bagaimanapun, ia bukan kes pertama membabitkan skandal ponteng kerja dalam perkhidmatan awam di Itali.

Pada 2016, sebuah bandar berhampiran Naples terpaksa menghentikan operasi pejabat perbandarannya berikutan separuh daripada kakitangan ditahan kerana ponteng kerja.

Ketika siasatan dilakukan, kakitangan dirakam menandatangani kehadiran masuk ke pejabat sebelum beredar keluar.

Dalam tahun sama, angka menunjukkan hampir suku kakitangan di bandar Rom mencuri tulang ketika waktu bekerja.

Manakala pada 2014 pula, anggota polis di kebanyakan ibu kota utama di Itali mengambil cuti sakit pada malam Tahun Baru sekali gus mengundang kecaman oleh perdana menteri ketika itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.