Penduduk temui hampir 2 kg emas, perak yang tertanam

Penduduk temui hampir 2 kg emas, perak yang tertanam

Usahawan hartanah menemui barangan berharga ketika membersihkan kawasan tanah untuk dibangunkan rumah.

Barangan perhiasan yang ditemui di sebuah kampung di India.

Siapa yang tidak pernah berangan menemui sejumlah harta karun membolehkan anda bergelar orang kaya segera.

Itu yang berlaku di Hyderabad, India yang menemui barang perhiasan emas dan perak seberat 190 gram dan 1.7 kilogram ketika menggali kawasan tanah untuk pembinaan rumah.

Lelaki terbabit yang juga usahawan hartanah, Narasimha dikatakan ingin membersihkan kawasan seluas 11 ekar itu kepada plot tanah sebelum menemui barangan berharga yang tertanam pada kedalaman 0.6 meter.

Barangan berharga yang ditemui disimpan dalam periuk tembaga itu termasuk 22 anting-anting emas serta 51 manik emas.

Selain itu, terdapat juga 26 tongkat perak, rantai perak dan beberapa barangan lagi seberat 42 gram yang turut ditemui.

Menurut wakil penduduk di situ, Anjaneyula Goud, dia percaya barangan berharga itu mungkin berasal dari zaman dinasti Kakatiya.

Katanya, pihak berkuasa akan menemui lebih banyak barangan berharga sekiranya mereka melakukan penggalian di kampung berkenaan.

Bagaimanapun, Narasimha yang terperanjat dengan kejadian itu terus membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Jurucakapnya, Rajendra Prasad berkata, semua barangan itu sudah diserahkan kepada jabatan berkaitan.

“Kita sudah menyerahkan semua barangan ini kepada jabatan berkaitan untuk tindakan susulan.

“Arahan selanjutnya juga sudah dikeluarkan kepada pemilik premis berhubung kerja penggalian yang ingin dilakukan selepas ini,” katanya.

Penemuan itu juga mula menjadi perhatian penduduk tempatan termasuk beberapa kumpulan yang ingin mencuba nasib mencari barangan berharga di situ, lapor 10 TV.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.