Robot ‘Camello’, penghantar barang runcit

Robot ‘Camello’, penghantar barang runcit

OTSAW Digital membangunkan robot penghantar barangan runcit untuk memudahkan pengguna.

Seorang pelanggan mengambil barangan yang dipesan daripada robot Camello.

Khidmat penghantaran barangan runcit dikatakan semakin mendapat tempat di kalangan pengguna terutama sejak dilanda pandemik Covid-19 tahun lalu.

Ia turut mendorong sebuah syarikat di Singapura menyediakan khidmat penghantaran menggunakan sepasang robot bernama Camello.

Robot yang dibangunkan oleh OTSAW Digital itu setakat ini sudah menghantar barangan kepada 700 rumah sepanjang tempoh percubaannya selama setahun.

Caranya mudah saja apabila pengguna hanya perlu menempah slot penghantaran barangan mereka menggunakan aplikasi.

Robot yang dilengkapi dengan alat sensor 3D, kamera dan dua tempat letak barang berupaya membawa barangan hingga 20 kilogram termasuk makanan serta bungkusan barangan dipesan secara online.

Ia juga membuat empat hingga lima penghantaran pada setiap hari selain beroperasi hanya setengah hari pada Sabtu.

Menurut Ketua Eksekutif OTSAW Digital, Ling Ting Ming berkata, mereka menggunakan cahaya ultra ungu untuk melakukan sanitasi setiap kali robot itu selesai melakukan penghantaran.

“Ia penting terutamanya ketika waktu pandemik ini apabila semua orang mahukan cara lebih selamat tanpa perlu berdepan dengan sesiapa,” katanya.

Ketika ini, terdapat kakitangan yang akan memantau pergerakan robot berkenaan untuk mengelakkan sebarang masalah.

Manakala seorang pengguna, Tashfique Haider, 25, berkata, dia sudah mencuba perkhidmatan itu dan ia amat membantu untuk warga tua yang tidak perlu bersusah payah untuk membawa barangan berat ke rumah.

Bagaimanapun, ada juga yang bimbang teknologi itu akan menimbulkan pelbagai masalah kepada sesetengah orang.

“Pengguna muda mungkin menyukainya tetapi bukan orang tua kerana ia adalah gajet yang digemari oleh generasi muda,” kata suri rumah, Xue Ya Xin, 36.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.