
Tiada apa yang dapat menghalang kasih sayang anak terhadap bapanya, termasuk sekumpulan kanak-kanak miskin di Filipina yang berusaha menghasilkan belon hari jadi daripada plastik dan kek telur untuk bapa mereka.
Keluarga itu dikatakan hidup dalam keadaan amat kekurangan berdasarkan keadaan rumah mereka yang usang.
Namun, keluarga terbabit dilihat tetap bersemangat melakukan sesuatu yang bermakna menggunakan kreativiti masing-masing untuk menghargai bapa mereka.
Kanak-kanak itu hanya meniup plastik untuk dijadikan belon sebelum menggantung di sekitar rumah bersama tulisan ‘Happy Birthday Papa’.
Kisah menyentuh perasaan itu dikongsikan oleh jiran mereka menerusi akaun Facebook bernama, Melody Silang dengan memuatkan beberapa gambar kanak-kanak berkenaan.
“Walaupun jiran saya susah, mereka tetap berusaha melakukan sesuatu untuk hari lahir ayahnya dengan melakukan kejutan istimewa sebaik dia pulang dari tempat kerja.
“Ia amat menyentuh perasaan dan biarpun tiada wang untuk membeli belon, mereka menghasilkannya sendiri menggunakan plastik dan menulis ‘Happy Birthday Papa’, malah turut membuat kek telur,” tulis Melody di akaunnya.
Menurut Melody, mereka tidak mempunyai wang untuk dibelanjakan bagi sambutan hari jadi dan hanya menggunakan sumber yang ada, apatah lagi membeli kek mahal.
Katanya, kanak-kanak itu sebaliknya menggantikan kek dengan telur yang dimasak dan dibentuk seperti ‘kek’ untuk bapa tersayang.
Perkongsian berkenaan mendapat pelbagai reaksi netizen di media sosial yang rata-rata bersimpati dengan nasib keluarga itu.
Ada juga yang menawarkan diri untuk membantu memberi sumbangan kepada mereka selain mengucapkan selamat hari jadi kepada bapa kanak-kanak itu.

Terbaharu, Melody turut berkongsi tentang pemberian kek serta minuman dari pembaca yang bermurah hati untuk bapa dan kanak-kanak tersebut.
Dia turut mengucapkan terima kasih atas prihatin semua dan mengembirakan keluarga itu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]