Keretapi pecah rekod dunia hasil irama klasikal

Keretapi pecah rekod dunia hasil irama klasikal

Muzium Wunderland Miniatur di Hamburg menghasilkan irama klasikal menggunakan model keretapi.

Keretapi melalui landasan dan menyentuh 3,000 gelas kaca lalu menghasilkan irama klasikal.

Tidak dinafikan, tempoh kuarantin akibat pandemik Covid-19 menyebabkan semua orang bosan apabila terpaksa berkurung dalam jangka masa yang amat lama.

Bagaimanapun, tidak kurang juga melihatnya sebagai peluang untuk melakukan sesuatu yang berfaedah selain menerokai kebolehan diri yang mungkin kita tidak sedar selama ini.

Bagi pengasas dan peminat model keretapi, Frederik Braun, dia juga tidak mahu mensia-siakan waktu yang ada, malah berjaya pula mencatat rekod dunia dengan menghasilkan irama muzik klasikal menggunakan model keretapi berkenaan.

Pengasas Muzium Wunderland Miniatur di Hamburg, Jerman itu berjaya mencipta sejarah terbabit bersama sekumpulan pasukan selepas menghabiskan masa berminggu-minggu menyiapkan projek muzik berkenaan.

Apa yang dilakukan ialah mereka menyusun gelas kaca di sepanjang landasan model keretapi itu sebelum ia melaluinya sambil menyentuh 3,000 gelas kaca untuk menghasilkan irama klasikal.

Muzium tersebut kini diiktiraf dalam buku Guinness World Record kerana berjaya menghasilkan irama terpanjang menggunakan sebuah model keretapi.

“Ia tidak semuanya sempurna tetapi kami cuba memainkan muzik oleh Verdi menggunakan gelas kaca ataupun the Bolero,” katanya Braun.

Bagaimanapun, dia mengakui projek itu juga menimbulkan satu cabaran besar untuk disiapkan terutama bagi memastikan bunyi dihasilkan benar-benar tepat.

Sebaik mereka mengisi air pada paras sepatutnya dalam gelas berkenaan, ia mula kering menyebabkan irama terhasil tidak seperti diharapkan.

Mereka juga perlu memastikan tukul kecil yang dilekatkan pada model keretapi itu tidak memecahkan mana-mana gelas untuk menghasilkan 20 irama klasikal termasuk Radetzky March oleh Johann Strauss dan Für Elise oleh Ludwig van Beethoven.

“Rekod dunia ini adalah rekod mega. Ia tidak akan dikalahkan selepas ini dan saya amat yakin sekali,” kata Braun.

Bagaimanapun, ia bukanlah rekod pertama muzium itu kerana sebelum ini pernah diiktiraf memiliki set model keretapi terbesar dunia dengan panjang landasan sejauh 15,715 meter.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.