Cari cacing jumpa fosil

Cari cacing jumpa fosil

Kanak-kanak enam tahun dipercayai menemui fosil berusia 488 juta tahun.

Siddak Singh Jhamat, 6, menunjukkan fosil yang ditemuinya.

Seorang kanak-kanak lelaki enam tahun dipercayai terjumpa tinggalan fosil berusia 488 juta tahun ketika menggali tanah untuk mencari cacing di kawasan taman rumahnya di West Midlands, England.

Siddak Singh Jhamat yang berusia enam tahun itu dikatakan menemui fosil batu karang berbentuk seperti tanduk yang dianggarkan berusia antaa 251 hingga 481 juta tahun lalu.

Dia kemudiannya menemui satu lagi objek tinggalan bersejarah, crinoid yang bentuknya menyerupai tentakel sotong serta kerang laut.

“Saya hanya ingin mencari cacing dan beberapa objek lain seperti tembikar serta batu sebelum terjumpa objek yang kelihatan seperti tanduk.

“Saya sangkakan ia mungkin sebatang gigi, penyepit atau tanduk tetapi ia sebenarnya baru karang dipanggil sebagai batu karang tanduk. Penemuan ini membuatkan saya begitu teruja,” katanya.

Bapanya, Vish Singh berkata, mereka sekeluarga terkejut apabila terdapat beberapa objek berbentuk aneh ditemui di kawasan rumahnya.

“Anak saya menunjukkan batu karang itu kepada saya dan keesokan harinya dia terus mencari lagi dan menemui objek berbentuk tentakel sotong. Objek ini dilihat mempunyai nilai pra sejarah,” katanya.

Menurutnya, dia dapat menentukan kesahihan objek itu selepas membuat hantaran menerusi satu

kumpulan peminat fosil dan sejarah di Facebook.

Beberapa ahli kumpulan itu memaklumkan ia kemungkinan adalah batu karang Rugosa berusia antara 251 hingga 488 juta tahun.

“Mereka mengatakan objek ini wujud dalam tempoh itu iaitu ketika Era Paleozoik. Ketika itu, England adalah sebahagian daripada Pangea iaitu sebuah daratan benua,” katanya.

Vish Singh berkata, mereka tidak tinggal di kawasan yang terkenal dengan tinggalan fosil seperti Jurassic Coast di selatan England tetapi terdapat banyak tanah liat semulajadi di tamannya di mana tempat batu karang itu ditemui.

Katanya, mereka akan merujuk penemuan itu kepada Muzium Geologi Universiti Birmingham untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci.

“Ramai yang memberi komen mengenai penemuan menakjubkan ini yang hanya terdapat di kawasan belakang rumah,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.