
Sikap pemurah pelancong di Bangkok, Thailand yang terus memberikan makanan kepada seekor monyet obes dikenali sebagai Godzilla, dikhuatiri boleh mengancam nyawa haiwan berkenaan.
Monyet berusia tiga tahun itu sering dibandingkan dengan seekor lagi monyet obes dikenali sebagai ‘Pakcik Gemuk’ yang dipercayai mati akibat terlebih makan, lapor Daily Mail.
Seperti ‘Pakcik Gemuk’, Godzilla sering mencuri perhatian orang ramai yang menyebabkan ia sentiasa mewah dengan makanan.
Awal bulan ini, monyet terbabit dilihat berada di pasar daerah Min Buri sebelum dikerumuni pelancong yang memberi makan.
Menerusi satu rakaman video, monyet jantan yang ditambat pada sebuah gerai itu dilihat memakan baju T ketat.
Ia menunjukkan gelagat manjanya apabila dibelai oleh pengunjung sambil berbaring di atas kusyen.
Menurut peniaga gerai itu, Manop, dia menjaga Godzilla selepas haiwan itu ditinggalkan oleh pemilik sebelum ini.
Katanya, dia memberi makan dan menjaganya dengan baik tetapi sukar untuk mengawal berat badannya.
“Pasukan penyelamat menemuinya ketika ia masih kecil. Sejak itu, dia makin membesar kerana sentiasa diberi makan dan tidak tahu untuk mencari makanan sendiri di hutan,” katanya.
Berat Godzilla dikatakan mencecah lebih 20 kilogram yang hampir sama dengan ‘Pakcik Gemuk’ yang mempunyai berat 27 kilogram dan berusia sekitar 10 hingga 15 tahun.
‘Pakcik Gemuk’ adalah monyet liar yang menjadi obes apabila pelancong sering memberinya makan, sebelum dihantar ke ‘kem’ di pusat lindungan haiwan untuk menguruskan badan.
Namun, kali terakhir ia dilihat masih hidup ialah pada Jun 2019 sebelum dilaporkan hilang dan disahkan mati.
Selain itu, Manop berkata, Godzilla bersenam setiap pagi namun ia tidak membawa sebarang perubahan.
Katanya, monyet itu juga tidak gemar disentuh oleh orang tidak dikenali dan akan berkelakuan liar jika ia benar-benar tidak menyukai mereka.
“Saya membawanya ke pasar supaya lebih mudah untuk dijaga kerana jika bersendirian, ia akan menjadi stres.
“Ramai orang memberinya makan tetapi ia hanya mengambil makanan daripada orang yang disukai saja. Ia agak cerewet dan mudah marah jika tidak menyukai mereka,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]