Chimpanzi interaksi guna Zoom

Chimpanzi interaksi guna Zoom

Chimpanzi di dua zoo berasingan menggunakan Zoom bagi membolehkan haiwan itu berinteraksi akibat ketiadaan pengunjung.

Gelagat chimpanzi yang boleh dilihat ‘rakan’ mereka melalui Zoom. (Gambar Reuters)

Semua tahu pandemik Covid–19 mengubah cara hidup masyarakat terutama bagi mereka yang bekerja apabila terpaksa membiasakan diri menggunakan panggilan video serta Zoom.

Mungkin manusia kini sudah mula merasa bosan kerana tidak dapat bersua muka dengan rakan sekerja namun lain pula situasinya di dua zoo di Republik Czech.

Beberapa ekor chimpanzi di zoo terbabit dikatakan mula menikmati norma baru itu yang dilakukan menerusi Zoom.

Ia sebenarnya memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi sesama sendiri yang boleh dilihat menerusi skrin besar.

Pengurusan zoo melakukan pendekatan itu disebabkan kurangnya interaksi haiwan terbabit dengan pengunjung akibat sekatan daripada pandemik Covid-19.

Chimpanzi di Taman Safari Park Dvur Kralove dan di sebuah zoo lain di Brno yang terletak kira-kira 150 kilometer jauh, kini boleh melihat gelagat ‘rakan’ mereka melalui Zoom.

Biar pun tidak ada bunyi yang dirakam namun projek baru bermula minggu lalu itu semakin mendapat perhatian haiwan berkenaan.

“Pada mulanya mereka hanya mendekati skrin dengan kelakuan defensif dan mengancam tetapi ada interaksi.

“Sekarang, apa yang kita lihat, mereka semakin seronok seolah-olah berada di dalam filem atau sedang menonton televisyen. Apabila terlihat situasi cemas, ia menyebabkan mereka terus melompat dari kerusi seperti menonton acara sukan,” kata penjaga di Dvur Kralove, Gabriela Linhartova.

Chimpanzi terbabit juga dilihat cuba meniru kelakuan manusia seperti menikmati kacang sambil menonton skrin besar itu.

Sidang video itu turut ditayangkan menerusi laman web taman safari yang boleh ditonton pada jam 8 pagi hingga 4 petang sehingga akhir Mac ini sebelum penjaga zoo menilai sama ada ia perlu diteruskan atau tidak.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.