
Seorang wanita yang hampir sedekad menderita akibat serangan asid menerima sinar hidup baru apabila bertemu pasangan hidupnya sebelum melangsungkan perkahwinan di Odisha, India, minggu lalu.
Menurut Daily Mail, pasangan itu, Pramodini Roul, 28, dan Saroj Sahoo, 29, berkahwin selepas kali pertama bertemu pada 2018.
Kedua-duanya dikatakan jatuh cinta apabila Saroj sering mengunjungi hospital tempat rakannya, seorang jururawat bertugas manakala Pramodini juga menerima rawatan di tempat sama.
“Saya sangat bersyukur kerana dapat berkahwin dengan Saroj. Kami menerima ramai tetamu untuk meraikan hari penuh bermakna ini,” kata Pramodini.
Pasangan itu bertunang pada 2018 dan merancang untuk berkahwin pada April 2020 tetapi pandemik Covid-19 menghalang majlis diadakan.
“Ketika menerima rawatan di hospital sejak 2018, kami jatuh cinta dan dia meninggalkan pekerjaan untuk menjaga saya.
“Ramai yang terkejut dia mahu berkahwin dengan saya tetapi kami jatuh cinta dan keluarga juga merestui,” katanya.
Pramodini hanya berusia 15 tahun ketika serangan itu menyebabkan mukanya melecur teruk dan hanya mempunyai 20 peratus penglihatan gara-gara menolak pinangan seseorang.
Kejadian itu menyebabkan dia terpaksa menjalani lima pembedahan rekonstruktif termasuk rawatan penglihatan mata kiri.
“Kali pertama saya bertemu Saroj ialah pada September ketika menjalani pembedahan mata kiri dan terpikat dengan kelakuannya.
“Dia mencintai saya dengan seadanya. Dia sentiasa memberi semangat untuk hidup dengan gembira,” kata Pramodini.
Pasangan itu kini melakukan kerja amal membantu mangsa serangan asid di Odisha menerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Chaanv.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]