
Berlin: Ketika Jerman melaksanakan perintah berkurung susulan pandemik Covid tahun lalu, Erika Rischko yang kini berusia 81 tahun memuat naik video pertamanya berdurasi 12 saat di TikTok apabila dia melakukan tarian popular Cha-Cha bersama suami.
Sejak itu, dia sudah memuat naik lebih 100 video senaman seperti melakukan “plank”, “pull-up” dan menari untuk menggalakkan orang ramai kekal aktif biarpun terpaksa berkurung di rumah.
“Bergerak dan lakukan sesuatu! Jangan hanya duduk dan masam muka saja. Itu adalah paling teruk,” katanya kepada Reuters.
Dia berjaya menarik sekitar 125,000 pengikut dan lebih 2 juta tanda suka di aplikasi TikTok yang amat popular di kalangan generasi muda dengan pelbagai video tarikan dan cabaran viral.
Dalam beberapa klip video yang dirakam oleh anak perempuannya, dia melakukan senaman sendiri dan melakukan cabaran sihat yang dilontarkan oleh pengikut yang lebih muda.
Selain itu, Rischko yang bertemu suami pada acara tarian beberapa tahun lalu turut melakukan rutin tarian berirama.
Rischko berkata, dia amat bersemangat membaca komen pengikut muda di video yang kebanyakannya memberi sokongan.
“Saya sangat gembira. Saya tidak pernah mempunyai keyakinan diri seperti ini,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]