
Video dimuat naik pemilik akaun instagram menggunakan nama Syazwana itu menceritakan bagaimana peritnya menanti kepulangan suami yang bekerja di Qatar, terutama bagi dua anak kecil mereka yang baru berusia empat dan lima tahun.
Menurut Syazwana, suaminya kembali ke Qatar sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan pada Mac lalu dan tidak dapat pulang ke Malaysia sehingga tahun ini.
Katanya, perancangan awal, suami ingin pulang bulan ini namun dia tidak terlalu berharap memandangkan kes Covid-19 kembali meningkat di Malaysia.
Bagaimanapun, dia sebenarnya tidak tahu bahawa suami dikenali sebagai Akram itu secara diam-diam memohon cuti dan ia diluluskan oleh pengurusnya.
Saat-saat kepulangan Akram ke pangkuan keluarganya dirakam dalam video berkenaan menyentuh emosi netizen terutama melihat reaksi anak-anak yang begitu rindukan ayahnya.
“Akhirnya, selepas setahun anak-anak menunggu kepulangan ayah mereka. Rasa seperti mimpi. Sebelum PKP pada awal Mac 2020, ayah mereka pulang ke Qatar sehingga sekarang baru dapat berjumpa semula.
“Sebelum ini setiap bulan pulang ke Malaysia dan disebabkan Covid-19, dia tidak dapat pulang. Terpaksa beritahu anak berulang kali ayah mereka tidak dapat pulang kerana virus, bahaya.
Katanya, suami pada mula ingin membuat kejutan pulang ke Malaysia tetapi dinasihatkan rakan supaya memaklumkan keluarga supaya boleh mendoakan kepulangan dengan selamat.
“Lebih lagi ketika buat ujian swab di sana, ia penentu segalanya. Kalau tiba-tiba positif, memang punah semuanya.
“Alhamdulillah, sehari sebelum pulang, keputusan negatif. Sebaik tiba, kuarantin tujuh hari saja di Subang. Akram cuma cuti sebulan, tolak kuarantin hanya tinggal dua minggu untuk kami. Itu pun dia hanya tinggal sepuluh hari cuti dan selepas ini tidak tahu bagaimana ingin pulang lagi.
“Yang penting anak-anak gembira sangat sebab ayah mereka dah berjanji ingin pulang bila masuk ke tadika,” katanya.
Dia berterima kasih atas doa semua rakan dan keluarga yang memberinya kekuatan untuk hidup bertiga di Sepang bersama anak dan terpaksa mengharungi segalanya bersendirian.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]